KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,051 kes jenayah komersial dicatatkan di Terengganu bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding berbanding 867 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus.

Katanya dalam tempoh 10 bulan itu, lebih RM13 juta kerugian telah direkodkan berbanding RM15.3 juta pada tahun sebelumnya.

"Saya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran atau barangan yang menampakkan begitu murah di dalam internet ataupun media sosial.

"Orang ramai juga digesa tidak terpedaya dengan kes-kes melibatkan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang begitu tinggi sehingga mendorong seseorang untuk melabur," katanya.

Beliau berkata antara kes yang tinggi direkodkan melibatkan penipuan pembelian atas talian, Macau Scam dan skim pinjaman tidak wujud.

Orang ramai juga digesa tidak terpedaya dengan kes-kes melibatkan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang begitu tinggi. - Astro AWANI

Jelasnya walaupun jumlah kerugian berkurangan pada tahun ini namun ia tetap membimbangkan berikutan berlaku peningkatan kes sehingga hampir 30 peratus.

M Zambri berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kes jenayah komersial itu menunjukkan peningkatan berikutan masyarakat mula beralih kepada pembelian secara dalam talian ketika pandemik COVID-19.