Lebih 1.7 juta pesalah trafik tegar yang mempunyai waran tangkap masih diburu polis dalam Op Warta Khas yang bakal menyaksikan usaha mengesan pemilik waran tangkap dilakukan secara berterusan.

Ketua Trafik Bukit Aman, Senior Asistan Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff, berkata dalam tempoh 12 hari sejak Op Warta Khas dilancarkan pada 16 Jun lalu, 16,486 pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap telah ditangkap.

Usaha ini dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menjadi warganegara bertanggungjawab dengan menjelaskan saman mereka.

"Mereka ini secara fizikal ditangkap dan sudah tentu pihak polis menawarkan kepada mereka yang mempunyai waran untuk membayar saman maksimum RM300, mereka yang tidak boleh bayar akan dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 441,000 pesalah trafik.

Ia diikuti Kuala Lumpur 261,000, Pulau Pinang 215,000 dan Negeri Sembilan 113,000.

Sebanyak 4,026 saman juga telah dikeluarkan ke atas pemandu yang menggunakan nombor plat pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Op Warta Khas dilancarkan 16 Jun lalu sebagai usaha mengesan pesalah trafik yang masih enggan menyelesaikan waran tangkap mereka di seluruh negara, antaranya dengan mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan rambang.

Tambah Fuad, sepanjang 12 hari Op Warta Khas dijalankan, statistik penyelesaian saman meningkat kepada 93 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ia mencatatkan 123,193 pesalah trafik mengambil inisiatif menjelaskan saman mereka berbanding 63,933 minggu sebelumnya.