Lebih 10,000 pengunjung membanjiri kawasan sekitar Jalan P. Ramlee di sini malam Sabtu untuk menyaksikan acara Citrawarna Kuala Lumpur 2014 iaitu perarakan kebudayaan, kesenian dan pelancongan pelbagai etnik di negara ini.

Perarakan itu merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi mempromosi Malaysia melalui pertunjukan produk-produk pelancongan, kebudayaan dan kesenian menerusi tarian, pakaian dan nyanyian rakyat.

Ia melibatkan lebih daripada 600 peserta dan 14 organisasi yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, komuniti setempat, pihak swasta dan persatuan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Kuala Lumpur, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor, dan Kumpulan Orang Asli Mahmeri.

Antara persembahan ialah tarian pelbagai kaum dan etnik, persembahan Artis Jalanan, peragaan busana tradisional dan persembahan nyanyian artis tempatan seperti Atilia dan Datuk M. Daud Kilau.

Perarakan tersebut yang bermula pada pukul 8.30 malam melalui Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang (pintu belakang) ke Jalan Lam Yew Swee, Jalan P. Ramlee dan seterusnya ke Jalan Ampang dan Matic (pintu hadapan).

Ia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Rashidi Hasbullah.

Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz.