ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 153,712 unit perumahan mampu milik di negeri ini masih belum dibina oleh pemaju-pemaju hartanah sejak 25 tahun dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah itu berdasarkan data kelulusan Kebenaran Merancang (KM) Pelan Susunatur di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Johor.

Katanya kegagalan pembinaan tersebut perlu segera diatasi dengan strategi dan pemantauan yang berkesan, berikutan projek rumah mahal telah pun dibina.

"Kerajaan negeri telah meminta Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) untuk merangka pembentukan Planning, Design and Rewiew Comitteee (PDRC) yang berperanan untuk menilai, memantau, dan memudahcara permohonan cadangan pembangunan perumahan mampu milik.

"Jawatankuasa yang akan dianggotai oleh pelbagai jabatan serta agensi yang berkaitan seperti PBT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Johor, PlanMalaysia@Johor dan agensi-agensi utiliti ini akan menjadi platform utama kepada inisiatif pembinaan segmen perumahan bagi kumpulan B40 dan M40.

"PKPJ juga akan menjadi centralised database bagi memastikan koordinasi yang lebih efisyen bagi pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan transit oleh semua agensi Kerajaan Negeri, agensi Kerajaan Persekutuan dan juga pemaju hartanah swasta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
 
Jelas Mohd Jafni, berdasarkan kepada rangka kerja awal, perjumpaan bersama pemaju hartanah dan KM di PBT mensasarkan sebanyak 21,139 unit perumahan mampu milik akan mula dibina secara berperingkat sehingga tahun 2026.

Malah katanya untuk akhir tahun 2022 dan 2023 terdapat 5,033 rumah telah siap dibina dan ditawarkan.

"Kerajaan Negeri juga telah mengenalpasti tanah kerajaan yang bersesuaian bagi pembinaan perumahan bagi kumpulan B40 dan M40, sama ada perumahan mampu milik yang boleh dibeli mahupun perumahan transit bagi memenuhi keperluan keperluan bangsa Johor.

"Bagi tujuan ini, kerajaan negeri melalui PKPJ akan bekerjasama erat dengan KPKT bagi penyelarasan perancangan dan sumber peruntukan," katanya.