KUALA LUMPUR: Petisyen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kepada Yang di-Pertuan Agong agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wajar diampunkan kini mencecah lebih 112,000 pada Isnin.

Petisyen yang digerakkan menerusi portal Change.org itu telah menunjukkan peningkatan sejak ia dilancarkan Rabu minggu lalu.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati, setakat 1 tengah hari Isnin, sejumlah 112,224 telah menandatangani petisyen yang disasarkan mencapai 150,000 penanda tangan.

Menurut BERSIH, petisyen itu bagi meminta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menggunakan kuasa pengampunan terhadap Najib.

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Sementara itu, satu lagi referendum yang dilancarkan oleh penyokong Najib pula sehingga kini mendapat 8,957 tandatangan.

Petisyen terbabit antara lain meminta Yang di-Pertuan Agong agar memberikan Pengampunan Diraja serta merta terhadap Najib.

Malah referandum itu turut meminta agar Yang di-Pertuan Agong menitah Ketua Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengarah Pesuruhjaya Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM untuk menghadap baginda berhubung bukti kes melibatkan Hakim Nazlan Ghazali.