Skip to main content

Malaysia

Lebih 112,000 peneroka Felda bakal nikmati perlindungan sosial Perkeso

KUALA LUMPUR, 10 Sept - Pengerusi FELDA Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir (tengah) menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara FELDA yang diwakili Pengarah Besar FELDA Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman (tiga, kiri_BERNAMA
Kerjasama itu antara lain melibatkan usaha memperluas perlindungan kepada peneroka yang dikategorikan sebagai golongan bekerja sendiri. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lebih 112,000 peneroka bakal menikmati manfaat perlindungan sosial menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dimeterai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kerjasama itu antara lain melibatkan usaha memperluas perlindungan kepada peneroka yang dikategorikan sebagai golongan bekerja sendiri.

“Kerajaan memberikan geran sebanyak 70 peratus kepada mereka yang bekerja sendiri. Peneroka ini kami anggap bekerja sendiri. Jadi, mungkin kami dapat panjangkan perlindungan kepada semua peneroka.

“Jika berlaku kemalangan, kecederaan, kematian dan sebagainya, mereka serta keluarga mereka terjamin dari segi gantian pendapatan,” katanya selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Selain perlindungan kepada peneroka, MoU itu merangkumi pendaftaran dan caruman Perkeso bagi semua anggota atau petugas Felda serta subsidiarinya dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai produk Lindung 24 Jam.

Mohammed Azman berkata kerjasama berkenaan juga memberi tumpuan kepada anak-anak peneroka menerusi penyediaan peluang pekerjaan dengan memanfaatkan portal MYFutureJobs di 317 tanah rancangan dan pejabat rancangan Felda.

“Felda mempunyai 317 tanah rancangan dan pejabat rancangan. Kami akan letakkan portal MYFutureJobs. Jadi, mereka boleh mendaftar dan kami boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu turut merangkumi aspek sinergi sosial bagi membantu warga Felda mendapatkan bantuan berkaitan tuntutan Perkeso serta khidmat daripada rakan-rakan strategik agensi berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Besar Felda Datuk Suzana Idayu Wati Osman berkata komuniti peneroka Felda kini melibatkan lebih tiga juta orang.

“Walaupun peneroka kita hanya 112,638, kita mempunyai komuniti peneroka lebih daripada tiga juta. Petugas kami pula hampir 70,000 orang, yang terdiri daripada 50 peratus petugas tempatan dan 50 peratus lagi petugas asing.

“Sempena menyambut 70 tahun Felda, Perkeso bersetuju untuk meneroka peluang tujuh inisiatif besar kepada warga Felda,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement