MIRI: Kira-kira 14,040 vaksin Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama kumpulan petugas barisan hadapan tiba di Pejabat Farmasi Bahagian Miri pada Khamis.

Kesemua vaksin untuk kegunaan petugas barisan hadapan bahagian Miri, Bintulu dan Limbang itu yang disimpan di tiga kotak khas itu tiba pada pukul 9.25 malam Khamis.

Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin berkata, vaksin tersebut dihantar menggunakan jalan darat dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Kuching.

“Penghantaran vaksin COVID-19 ini melalui jalan darat dari Kuching ke Miri yang dihantar oleh sebuah syarikat penghantaran dan diiringi oleh seorang pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan sepasukan polis pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kesemua vaksin itu sudah selamat tiba dan disimpan di Pejabat Farmasi Bahagian Miri sebelum pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Miri esok," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.



Ketibaan vaksin itu disambut oleh Pegawai Farmasi Bahagian Miri, Eileen Yii Sze Shin, dan disaksikan Kim Shin.

Untuk makluman, program vaksinasi fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan di bahaguan Miri akan bermula esok di enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan dijangka selesai menjelang April depan.

Dua PPV dikhususkan untuk barisan hadapan kategori perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Hospital Miri dan Hospital Marudi.

Empat PPV lagi dikhususkan untuk barisan hadapan Kesihatan Awam KKM dan bukan KKM iaitu di Dewan Eastwood, Dewan Dato Permaisuri di Permyjaya, Dewan Suarah Marudi dan Dewan Masyarakat Bekenu.

Untuk rekod Miri mensasarkan 80 peratus daripada lebih 300,000 populasi yang berumur 18 tahun ke atas di bahagian itu akan menerima vaksin pada Fasa 2 dan Fasa 3 yang dijangka bermula pada April sehingga Ogos 2021.