JOHOR BAHRU: Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 2,295 unit alat mainan seks bernilai RM70,000.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, alat mainan seks itu dirampas hasil empat serbuan dijalankan di Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Perak antara 18 Januari sehingga 6 Februari lalu.

“Serbuan pertama tahun ini dilakukan di premis jualan di pusat beli-belah di Kuching, Sarawak dengan rampasan sebanyak 135 unit bernilai RM10,890.50.

“Rampasan kedua pula hasil serbuan dilakukan di sebuah stor di Masai, Johor Bahru sebanyak 2,012 unit bernilai RM37,350 manakala serbuan ketiga dan keempat pula dilakukan di Bayan Lepas, Pulau Pinang (102 unit) dan Ipoh, Perak (46 unit) dengan nilai rampasan masing-masing RM15,732 serta RM6,050," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akbar di Kompleks KDN Setia Tropika di sini pada Khamis.

Nik Yusaimi berkata, menerusi serbuan terbabit empat individu termasuk seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan merupakan pemilik perniagaan bagi membantu siasatan.

"Alat mainan seks tersebut disyaki diimport dari China dan penjualannya berselindung di sebalik premis kosmetik dan kesihatan, yang dijual serendah RM50 hingga RM300.

"Penjualan alat mainan seks ini dikesan semakin meningkat bukan sahaja dalam talian tetapi turut dijual secara terbuka di premis perniagaan yang dijual serendah RM50 hingga RM300,” katanya.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan terhadap alat mainan seks itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Sepanjang tahun lalu, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN telah merampas pelbagai jenis alat mainan seks dengan nilai rampasan keseluruhan RM1.3 juta. - Sinar Harian