KUALA LUMPUR: Kira-kira 203 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan kepada penduduk dunia, namun setakat ini, tiada laporan berkenaan kesan sampingan yang keterlaluan.

Justeru, Pakar Kesihatan Awam, Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, fakta itu sepatutnya sudah mampu meyakinkan orang ramai, apatah lagi jika mahu dibandingkan dengan jumlah kematian akibat virus itu yang sudah mencecah 2.4 juta.

"Data menunjukkan setakat ini, 203 juta individu telah divaksin, manakala tidak ada satu pun yang dilaporkan menerima kesan sampingan berbahaya atau menyebabkan kematian.

"Ini berbeza dengan virus ini sendiri yang telah menjangkiti lebih 112 juta individu dan hampir 2.5 juta kematian. Ini sudah jelas menunjukkan keberkesanan vaksin untuk mencegah penyakit dan kematian akibat penyakit ini," katanya ketika ditemubual dalam Buletin AWANI.

Kata Dr Malina lagi, buat masa ini tiada keperluan untuk mengubah senarai penerima vaksin mengikut kumpulan dan fasa, bagi tujuan meyakinkan orang ramai.

Ini kerana, senarai kumpulan berkenaan sudah sesuai, berdasarkan situasi semasa.

"Tetapi apabila fasa kedua bermula nanti, bolehlah didahulukan pemimpin masyarakat atau organisasi terlebih dahulu. Ini bagus untuk memberi keyakinan dan motivasi kepada anak-anak buah mereka," ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau melihat program imunisasi akan berjaya diselesaikan selewat-lewatnya April tahun depan, namun ia memerlukan kerjasama rakyat.

"Kita perlu juga lihat banyak faktor lain seperti cuti umum, logistik dan tenaga kerja untuk melaksanakannya.

"Saya tidak maksudkan faktor-faktor ini akan melewatkan tetapi ia memberi gambaran yang keseluruhan proses imunisasi akan berjalan seperti yang dijadualkan.

"Berdasarkan semua perkara ini, saya jangkakan kita akan selesai pada awal tahun hadapan atau paling lewat, April tahun hadapan," katanya lagi.