MALAYSIA
Lebih 200 projek pembinaan seliaan JKR siap mendahului jadual pelaksanaan

Ahmad berkata perkara itu mengambil kira projek yang mendahului jadual pelaksanaan melebihi seminggu hingga 10 hari. - Gambar Bernama
KUNAK: Lebih 200 daripada 800 projek pembinaan yang diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara pada ketika ini mendahului jadual pelaksanaan (AOT).
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu mengambil kira projek yang mendahului jadual pelaksanaan melebihi seminggu hingga 10 hari.
"... tetapi angka 200 ini masih lagi tidak mencukupi. 200 daripada 800 projek, manakala baki projek pembinaan itu adalah projek yang mengikut jadual, projek lewat dan ada tiga peratus projek sakit.
"Mana-mana projek terutama di Sabah ini hendaklah dipastikan projek-projek itu disiapkan tepat pada jadual atau AOT. Apabila projek itu sudah terlewat, antara rancangan yang patut dilakukan kontraktor adalah mewujudkan kerja tambahan masa misalnya pada hujung minggu termasuk mewujudkan syif berganda kerja sehari," katanya.Beliau berkata demikian selepas meninjau kemajuan projek pembinaan bangunan baharu meliputi 12 bilik darjah serta kemudahan lain di Sekolah Kebangsaan Kunak Jaya di sini hari ini.
Ahmad turut mencadangkan agar pegawai JKR berkaitan melawat dan mempelajari aspek pembinaan di luar negara misalnya China dan India yang menyiapkan projek binaan dengan pantas menggunakan teknologi terkini antaranya sistem bermodul pasang siap.
Di Sabah terdapat lima projek sekolah daif yang mendahului jadual pelaksanaan antaranya dua di Semporna dan masing-masing satu di Tawau, Kota Belud serta Pensiangan.
Sementara itu, Ahmad berkata projek membina bangunan baharu di Sekolah Kebangsaan Kunak Jaya bernilai RM24.3 juta dan dijangka siap pada Nov depan, kini mencapai 18 peratus tahap kemajuan fizikal.
Beliau berkata projek yang bermula sejak Jun 2024 itu membabitkan pembinaan 12 bilik darjah, blok pentadbiran, bilik sains, bengkel, makmal komputer, surau termasuk kantin dan bakal memberi manfaat kepada lebih 500 murid sekolah berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami