KUALA LUMPUR: Inisiatif diskaun 30 peratus melalui kod promosi MADANI30 bagi tiket perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 21,000 tiket telah terjual setakat ini.
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Azfar Zakariya berkata promosi berkenaan mencerminkan komitmen syarikat bersama kerajaan dalam membantu rakyat mengurangkan kos perjalanan, terutamanya ketika berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
Advertisement
Beliau berkata tawaran itu melibatkan semua perkhidmatan ETS bagi laluan Johor Bahru–Padang Besar serta laluan Johor Bahru–Tumpat, dan sah digunakan untuk perjalanan pada hari bekerja, iaitu Isnin hingga Jumaat bermula dari 15 April hingga 14 Okt ini.
“Promosi ini terbuka kepada semua pengguna bagi kelas standard untuk perjalanan Isnin hingga Khamis, sekali gus memudahkan pengguna merancang perjalanan lebih awal sama ada bagi tujuan kerja atau percutian.
“Inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Pengangkutan ini bukan sahaja meningkatkan akses kepada pengangkutan awam berkualiti, malah turut menyokong usaha menggalakkan peralihan kepada mod pengangkutan lebih mampan, selesa dan efisien selain mempertingkatkan keterhubungan antara bandar dengan wilayah,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program "Jendela Fikir: Rel Menghubungkan Rakyat, Menggerakkan Negara" terbitan Bernama Radio, hari ini.
Diskaun 30 peratus bagi pembelian tiket ETS dan ERT menggunakan kod promosi MADANI30 akan berakhir pada Khamis ini (30 April).
Selain itu, Azfar berkata peningkatan kapasiti perkhidmatan ETS melalui penambahan 10 set tren baharu bagi sektor Kuala Lumpur–Johor Bahru telah menyumbang kepada lonjakan 40 peratus jumlah penumpang harian, dengan perkhidmatan itu kini mencatat purata 16,000 penumpang sehari berbanding kira-kira 10,000 orang sebelum ini.
Hal ini sekali gus menjadi pencapaian tertinggi KTMB sejak proses pemodenan perkhidmatan rel negara dilaksanakan, iaitu daripada tren berasaskan arang batu kepada tren elektrik moden.
Bagi memastikan kelancaran operasi, beliau berkata aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan KTMB dengan jadual penyelenggaraan tren dan infrastruktur dilaksanakan secara berkala dan tersusun selain pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf landasan di Lembah Klang yang telah berusia lebih 30 tahun bagi meningkatkan keselamatan serta kecekapan perkhidmatan termasuk melalui projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT).
KVDT dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan kerja menaik taraf sistem landasan dan tren membabitkan sektor Rawang–Salak Selatan, Sentul–Simpang Batu, Bangi–Seremban dan Simpang Pelabuhan Klang–Pelabuhan Klang.
Azfar berkata dengan rangkaian landasan sepanjang kira-kira 1,700 kilometer, KTMB turut berdepan dengan cabaran seperti kecurian kabel yang boleh menjejaskan operasi tren selain menyeru orang ramai menjadi "mata dan telinga" dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan landasan kepada pihak berkuasa atau stesen KTMB terdekat.
-- BERNAMA