GUA MUSANG: Seramai 26,655 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi seluruh Parlimen Gua Musang yang terkesan dengan pandemik COVID-19 akan terima bantuan bakul makanan secara berperingkat bermula Jumaat.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah peruntukan keseluruhan untuk tujuan itu berjumlah RM1.6 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim pula memaklumkan, bakul makanan itu akan diberikan kepada seluruh KIR pelbagai kaum termasuklah Orang Asli di kawasan pedalaman.

Katanya, antara Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat ialah DUN Galas, Nenggiri dan Paloh.

"Hari ini adalah hari untuk kita memulakan gerakan pengagihan bakul makanan di mana kita mulakan di kawasan Paloh, Nenggiri dan kemudian di Galas.

"Jadi keseluruhan yang mereka dikenalpasti dan berada di Parlimen Gua Musang akan diberi kotak makanan.

"Dan saya diberi makluman Parlimen Gua Musang ini antara satu-satunya parlimen yang mengedarkan kepada seluruh KIR dalam parlimen tersebut.

"Jadi peruntukan hampir RM1.7 juta diperuntukan bagi membelanjakan bantuan kotak makanan ini," katanya.

Masyarakat peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Felda di Gua Musang bersyukur apabila tidak pernah tercicir menerima bantuan daripada wakil rakyat dan agensi lain.

Setiap bakul makanan berisi 11 makanan termasuklah beras, minyak, sardin, gula dan tepung gandum.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

BACA: PEMULIH: Bantuan Bakul Makanan, dana RM300,000 kepada Ahli Parlimen diagih hari ini