BATU PAHAT: Lebih 3,000 ahli dan sukarelawan Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) akan diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan banjir di seluruh negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata berkata anggota dan sukarelawan skuad berkenaan mempunyai pengalaman luas dalam menghadapi banjir selain telah melakukan persiapan yang sewajarnya untuk menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, antara yang telah dilakukan adalah termasuk telah melakukan penyelenggaraan bot dan enjinnya sementara menunggu sebarang kemungkinan yang berlaku pada musim Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

"Sekiranya mana-mana kawasan yang dilanda banjir, mereka akan digerakkan untuk melakukan kerja-kerja yang diperlukan dan membantu penduduk dengan segera.

"Kami juga mempunyai sukarelawan daripada semua kaum yang akan datang memberi sokongan pada masa bencana," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada kira-kira 14 kuil dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di sini hari ini.

Wee berkata CRSM juga merupakan salah satu unit sokongan dalam Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berperanan membantu agensi berkenaan dalam situasi bencana di negara ini.

Sementara itu, bagi persediaan menghadapi banjir di bawah kawasannya, Wee berkata agensi berkaitan sentiasa bersedia untuk menghadapinya, selain mempunyai pengalaman berhadapan banjir besar pada tahun 2006 dan 2007, juga beberapa banjir lain selepas itu.

"Saya rasa kami mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam menguruskan pusat pemindahan banjir (PPS) dan kami sentiasa bersedia," kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Dalam majlis itu, Wee menyerahkan bantuan bernilai RM99,000 kepada wakil daripada 14 kuil dan NGO berkaitan keagamaan selain turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM480,000 kepada lebih 30 NGO, agensi kerajaan, sekolah dan kampung.

-- BERNAMA