GEORGE TOWN: Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, seorang ahli perniagaan mengambil inisiatif menghiasi kampung halamannya di Kampung Melayu, Air Itam di sini dengan lebih 3,000 Jalur Gemilang berserta poster gergasi.

Datuk Seri Salim Abdul Rahman, 54, berkata, usaha turut dilakukan kerana beliau mahu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan anak muda.

"Begini (memasang bendera) adalah semangat orang-orang lama menghiasi rumah dan kampung halaman mereka ketika era 80-an dan 90-an setiap tahun ketika Bulan Kebangsaan. Semua rumah pasti akan kibar (bendera Malaysia) dan kini saya mahu kembali menikmati kemeriahan suasana itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Jalur Gemilang adalah lambang kemegahan Malaysia dan semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa serta agama harus mengibarkan bendera Malaysia setiap kali menyambut Hari Kebangsaan.

Katanya, beliau bersama-sama lebih kurang 30 anak muda Kampung Melayu memasang lebih 3,000 Jalur Gemilang itu di sekitar jalan masuk ke kampung berkenaan selain menggantung dua poster Hari Kebangsaan berukuran 18 meter panjang dan 5 meter lebar di kawasan flat kos rendah.

Sementara itu, Lim Siew Eng, 55, berkata beliau teruja dengan kemeriahan hiasan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan di kampung itu.

"Saya hanya datang untuk makan bersama rakan di Astaka Makanan di sini dan saya bangga melihat hiasan Jalur Gemilang sepanjang jalan. Poster Hari Kebangsan yang digantung di flat kos rendah juga menandakan semangat patriotik dalam kalangan penduduk," katanya.

Seorang pengunjung Pasar Malam Kampung Melayu, Abraham Mammen, 63, berkata, pada mulanya beliau terkejut melihat banyak bendera menghiasi jalan dan kemudian bertukar bangga dengan semangat yang ditonjolkan penduduk untuk menyambut Hari Kebangsaan.

"Kampung ini merupakan satu-satunya kampung di Pulau Pinang, mungkin di seluruh Malaysia yang mempunyai begitu banyak Jalur Gemilang menghiasi jalan sempena Hari Kebangsaan. Kampung ini dapat menjadi kampung contoh untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang," katanya. - BERNAMA