Lebih 300 dikompaun, pesalah buang sampah diwajib buat khidmat masyarakat - Kor Ming

Kor Ming mendedahkan tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan warga asing yang didapati membuang sampah di tempat awam. - Gambar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Lebih 300 individu di seluruh negara telah dikenakan notis kompaun di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendedahkan tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan warga asing yang didapati membuang sampah di tempat awam dalam tempoh 15 hari sejak pelaksanaan perintah berkenaan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
“Sehingga kini, seramai 342 individu telah ditahan. Saya menjangka sebelum Tahun Baharu Cina, mereka akan dipanggil secara beramai‑ramai untuk melaksanakan khidmat masyarakat seperti membersihkan jalan, mencuci longkang dan tandas awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat 2026 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya pada Selasa.
Tambah beliau, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut diarahkan untuk menggerakkan lebih 300 pegawai penguat kuasa bagi menjalankan tindakan tanpa mengira sama ada pesalah merupakan warga tempatan atau warga asing.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta 672 mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 sebagai salah satu bentuk hukuman untuk menangani masalah pembuangan sampah kecil di kawasan awam.
KPKT pada 31 Disember lalu, memaklumkan pelaksanaan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat itu akan berkuat di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, dan Kedah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Bagi Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu yang tidak menggunakan Akta 672, pelaksanaan perintah berkenaan akan bermula secepat mungkin tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing.
Hukuman itu dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


