KEJADIAN serangan yang dilancarkan oleh kapal selam Amerika Syarikat (AS) ke atas kapal frigat Tentera Laut Iran, IRIS Dena, di Lautan Hindi pada 4 Mac 2026 sekali lagi menimbulkan persoalan besar terhadap pendirian sebenar Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Insiden tragis yang mengorbankan lebih 87 anak kapal itu berlaku ketika ia sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri jemputan rasmi latihan tentera laut India di Visakhapatnam dari 15 hingga 25 Februari lalu.
Advertisement
IRIS Dena membawa 208 kru, termasuk pegawai tentera laut, kakitangan teknikal serta beberapa anggota protokol yang terlibat dalam program diplomasi ketenteraan.
Malangnya, ketika pelayaran pulang, ia dilaporkan diserang di perairan antarabangsa Lautan Hindi, kira-kira 40 kilometer dari pantai Galle, Sri Lanka oleh torpedo yang dilancarkan oleh kapal selam AS menyebabkannya mengalami kerosakan teruk dan akhirnya karam.
Sehingga kini, 32 kru berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Sri Lanka, manakala bakinya lagi dilaporkan masih hilang.
Sebagai negara hos yang menjemput kapal perang Iran ke program rasmi ketenteraan, tindakan India yang tidak segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran menimbulkan tanda tanya serius.
Sedangkan ia memiliki antara armada laut terbesar di Asia dengan lebih 145 kapal perang serta puluhan ribu anggota tentera laut yang berpangkalan di kawasan strategik Lautan Hindi.
Lebih mengejutkan, selepas tragedi itu, tiada sebarang kecaman keras atau bantahan diplomatik dikeluarkan oleh kerajaan Modi terhadap Washington walaupun serangan tersebut mengorbankan kru yang secara rasmi merupakan tetamu negara India.
Bagi ramai pemerhati politik serantau, sikap berdiam diri New Delhi dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan diplomatik yang serius.
Modi mungkin lebih selesa memainkan peranan geopolitik yang selari dengan kepentingan Donald Trump di White House serta sekutunya di Israel yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu.
Tidak menghairankan kerana pemimpin parti Bharatiya Janata Party (BJP) itu sejak sekian lama dikenali dengan retorik nasionalisme Hindu yang keras serta hubungan politik yang semakin rapat dengan Tel Aviv.
Beberapa hari sebelum konflik terbaru meletus, Modi ketika berucap di Knesset, parlimen Israel, secara terbuka menyatakan,
“Israel is a fatherland and India is a motherland.”
Kenyataan itu dilihat oleh ramai penganalisis sebagai simbol hubungan strategik yang semakin erat antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang keselamatan, teknologi pertahanan dan perkongsian risikan.
Oleh itu, dalam insiden yang menimpa IRIS Dena, tidak mustahil segala maklumat berkaitan laluan pelayaran kapal itu bermula dari pelabuhan India sehingga memasuki perairan antarabangsa berada dalam pengetahuan sistem radar dan pemantauan New Delhi.
Tentera Laut India juga dipercayai mengetahui bahawa sistem persenjataan kapal tersebut berada dalam keadaan tidak diaktifkan kerana ia sedang menjalankan misi diplomasi ketenteraan dan bukan operasi tempur.
“Kami percaya kami berada di perairan yang selamat dan mesra. Kebanyakan kru di atas kapal hanyalah kakitangan bukan tempur dan kakitangan upacara,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi ketika mengulas mengenai kejadian berkenaan.
Kenyataan berkenaan menggambarkan tahap kepercayaan Tehran terhadap India sebagai rakan strategik serantau kepercayaan yang kini kelihatan dikhianati.
Sebagai ahli politik yang sering dikritik kerana sikap keras terhadap umat Islam di India, Modi mungkin melihat perkembangan ini melalui lensa politik domestik dan geopolitik yang lebih luas.
Tambahan pula, reputasi beliau pernah tercalar selepas kegagalan konflik ketenteraan terhadap Pakistan dalam Operasi Sindoor 2025, yang menyaksikan beberapa pesawat tempur canggih India dilaporkan ditembak jatuh dalam konfrontasi sempadan yang tegang.
Sejak serangan ketenteraan dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu, Tehran telah melancarkan beberapa serangan balas terhadap sasaran ketenteraan dan strategik di sekurang-kurangnya 13buah negara yang dianggap menyokong operasi berkenaan termasuk beberapa pangkalan tentera di luar rantau Teluk.
Dengan kemampuan peluru berpandu balistik jarak jauh Iran yang semakin berkembang serta sokongan terbuka Washington kepada Tel Aviv, tidak mustahil negara yang dilihat bersubahat dalam insiden IRIS Dena juga berpotensi menerima tekanan strategik atau tindak balas pada masa akan datang.
Dalam konflik yang semakin melebar ini, persoalan besar masih kekal, Adakah India benar-benar berkecuali, atau sekadar memainkan peranan sebagai sekutu senyap dalam percaturan geopolitik yang lebih besar?
*Razali Awang ialah perunding media Alkhair Malaysia.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.