Lebih 300 nelayan di sekitar perairan Pontian takut untuk ke laut sejak November lepas kerana bimbang menjadi mangsa samun dan pemerasan kumpulan lanun di perairan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Kamarul Zaman Mamat berkata setakat ini empat laporan berhubung kejadian itu diterima polis pada November dan bulan ini walaupun ada yang mendakwa ramai nelayan menjadi mangsa.

"Menerusi laporan yang diterima, kejadian samun dan pemerasan itu berlaku pada waktu malam ketika nelayan sedang mencari rezeki di kedudukan dua batu nautika dari pantai perairan negara ini.

"Mereka (nelayan) mendakwa disamun dan diperas ugut manakala bot, hasil tangkapan atau barangan akan dirampas penjenayah itu sekiranya mereka berkeras," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama nelayan di Pengkalan Penghulu Serkat, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan berikutan itu polis terutamanya Pasukan Polis Marin akan memperhebatkan penguatkuasaan bagi menangani kes berkenaan, sekali gus meningkatkan keyakinan nelayan.

Beliau berkata polis juga akan mempertingkatkan kerjasama dengan polis negara jiran bagi menangani situasi berkenaan.

Katanya pada masa sama, polis juga menasihati nelayan supaya melaporkan sebarang kejadian yang berlaku kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

"Kita sedang menyiasat mereka (lanun) yang terlibat yang dipercayai terdiri daripada beberapa kumpulan selain memastikan sama ada mereka bersenjata atau tidak. Pertuturan mereka juga tidak dapat dipastikan dan mereka juga bertopeng," katanya.