WASHINGTON: Jalur Gemilang berkibar di pekarangan Pejabat Kedutaan Malaysia, di sini, pada Ahad, ketika lebih 300 rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan 2026, membawa bersama rasa rindu, bangga dan cinta kepada tanah air meskipun ribuan kilometer memisahkan mereka daripada Malaysia.
Ada yang hanya mengambil masa beberapa minit untuk tiba, namun ada juga yang sanggup memandu hampir tiga jam dari Pennsylvania semata-mata untuk bersama komuniti Malaysia di Washington DC meraikan hari bersejarah itu.
Bagi mereka, jarak bukan penghalang untuk kembali seketika kepada suasana Malaysia - berkumpul, menyanyikan Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama.
Sambutan dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang, diikuti nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan bacaan ikrar dalam suasana penuh khidmat dan patriotik.
Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Shahrul Ikram Yaakob berkata, sambutan tahun ini bertemakan Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, membawa mesej bahawa kemajuan negara bukan sekadar diukur melalui pembangunan, tetapi melalui kesejahteraan yang benar-benar dapat dirasai dan dinikmati rakyat.
Beliau berkata tema itu selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan manfaat pembangunan negara dapat dikongsi secara menyeluruh, berlandaskan enam nilai Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan, sama ada daripada kalangan pelajar, profesional dan usahawan, yang baharu mahupun yang telah lama bermukim di Amerika Syarikat, amat menyentuh hati saya.
“Walaupun berbatu jauhnya dari tanah air, semangat patriotisme yang dizahirkan melalui perhimpunan ini membuktikan bahawa Malaysia sentiasa dekat di hati kita,” katanya ketika berucap pada sambutan itu.
Turut hadir wakil perwakilan diplomatik Malaysia, termasuk Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Datuk Nadzirah Osman serta Konsul Jeneral Malaysia di New York dan Los Angeles, Halilah Abdul Jalil dan Wan Nurshima Wan Jusoh.
Tan Sri Shahrul Ikram berkata, rakyat Malaysia di Amerika Syarikat turut memainkan peranan penting dalam membawa imej dan nilai terbaik Malaysia dalam kehidupan seharian.
“Saya selalu mengingatkan dalam setiap mesej saya bahawa tuan-tuan dan puan-puan adalah ‘Duta’ Malaysia di bumi Amerika Syarikat ini.
“Marilah kita pamerkan nilai terbaik bangsa kita - keramahan, kepatuhan pada undang-undang tempatan dan semangat muhibah sesama kita,” katanya.
,Beliau berkata kemerdekaan yang dinikmati hari ini merupakan hasil perjuangan generasi terdahulu dan perlu diiringi kesedaran bahawa setiap rakyat mempunyai tanggungjawab terhadap negara.
Katanya, pengalaman, ilmu dan kemahiran yang diperoleh rakyat Malaysia sepanjang berada di luar negara juga merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan tanah air.
“Dalam mendepani dunia hari ini yang serba mencabar, kemerdekaan itu hadir bersama tanggungjawab. Walau di mana jua kita berada, peranan kita tetap ada.
“Ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ditimba di perantauan ini adalah aset bernilai untuk diri sendiri dan juga sangat bermanfaat kepada pembangunan negara,” katanya.
Kehadiran pegawai daripada cabang Kementerian Pertahanan Malaysia, termasuk Tentera Darat dan Tentera Udara, yang segak dalam pakaian seragam turut menarik perhatian hadirin.
Kontinjen berkenaan diketuai Brigadier Jeneral Datuk Pahlawan Asri Shukor, menambahkan lagi suasana patriotik sambutan yang berlangsung dalam semangat kebersamaan.
Sambutan turut memberi ruang kepada generasi muda melalui pertandingan seni dan kraf kanak-kanak “Malaysia di Mata Saya”yang mengajak anak-anak warga Kedutaan Malaysia di Washington DC menerjemahkan pandangan dan imaginasi mereka mengenai tanah air.
Lebih 20 karya dipertandingkan, masing-masing menampilkan gambaran Malaysia daripada perspektif kanak-kanak yang membesar jauh dari tanah air.
Karya-karya tersebut turut dipamerkan kepada para tetamu, menjadikannya bukan sekadar pertandingan, tetapi satu cara halus untuk menanam rasa cinta, bangga dan hubungan dengan Malaysia dalam kalangan generasi muda diaspora.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh isteri Duta Besar Malaysia, Puan Sri Izdina Izaidin.
Seperti mana-mana sambutan Malaysia, makanan turut menjadi sebahagian daripada kemeriahan.
Pelbagai hidangan dan kuih-muih Malaysia disajikan kepada tetamu, menghidupkan semula rasa dan suasana tanah air di tengah-tengah Washington DC.
Di sebalik meja jamuan, rakyat Malaysia daripada pelbagai negeri, generasi dan latar belakang mengambil kesempatan untuk bertegur sapa, bertukar cerita dan mengeratkan silaturahim.
Bagi sebahagian yang datang dari jauh, sambutan itu bukan sekadar acara rasmi di kedutaan, tetapi peluang untuk bertemu saudara senegara dan merasai semula suasana sebuah keluarga besar Malaysia.
Tan Sri Shahrul Ikram turut merakamkan penghargaan kepada seluruh diaspora Malaysia, khususnya komuniti di kawasan District of Columbia, Maryland dan Virginia (DMV), atas sokongan berterusan kepada Kedutaan Malaysia.
Beliau mengajak rakyat Malaysia untuk terus mendoakan agar negara dikurniakan keamanan, perpaduan dan kemakmuran, selain mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan di mana sahaja mereka berada.
Di Washington DC pada Ahad itu, jarak dengan Malaysia terasa sedikit lebih dekat — apabila lebih 300 rakyatnya berkumpul di bawah satu bendera, menyanyikan satu lagu dan berkongsi satu rasa: bangga menjadi rakyat Malaysia.