Lebih 3,000 premis masih tawar Menu Rahmah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Fuziah Salleh berkata pasar raya Mydin di sini misalnya masih lagi menawarkan Menu Rahmah dengan harga makanan RM4.90 setiap hari. - Gambar fail/BERNAMA
SANDAKAN: Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan pada 2023 masih diteruskan, dan sehingga kini masih terdapat lebih 3,000 premis di seluruh negara menawarkan menu berkenaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Fuziah Salleh berkata pasar raya Mydin di sini misalnya masih lagi menawarkan Menu Rahmah dengan harga makanan RM4.90 setiap hari.
"Menunya juga berbeza, hari Isnin lain, Sabtu lain, sehingga hari Ahad. Tadi saya tengok dia punya menu adalah nasi, ikan masak kicap dan kubis goreng serta air semuanya RM4.90. Jadi, Menu Rahmah ini adalah satu menu, satu makanan yang seimbang. Dia ada protein, dia ada karbohidrat dan dia juga ada sayur.
"Jadi, alhamdulillah lebih dua tahun masih diteruskan kerana hasrat mereka yang menawarkan Menu Rahmah ini ialah untuk berkongsi rezeki dan membantu orang-orang yang memerlukan. Terima kasih kepada rakan-rakan strategi kita seperti Mydin yang terus menawarkan Menu Rahmah ini," katanya selepas melawat pasar raya Mydin di sini hari ini.Fuziah berkata pihaknya sentiasa cuba membantu pengusaha-pengusaha Menu Rahmah yang berdaftar dengan KPDN, antaranya menawarkan kad diskaun Menu Rahmah.
"Kad diskaun khas Menu Rahmah itu membolehkan mereka membeli, kalau di Mydin ini mereka boleh beli dengan harga istimewa dan kad diskaun ini juga boleh digunakan pada Jualan Rahmah.
"Selain iu, kalau ada kad diskaun itu, dia tak perlu ada limit pembelian, misalnya limit pada Jualan Rahmah itu ayam dua ekor, tapi dengan kad diskaun itu boleh beli lebih. Jadi, kad diskaun ini membantu mereka-mereka yang menawarkan Menu Rahmah, jadi itu insentif daripada kerajaan," katanya.
Fuziah berkata pengusaha makanan yang berminat untuk menawarkan Menu Rahmah perlu mendaftar dengan KPDN.
Sementara itu, beliau berkata lawatan kerja ke Sandakan itu turut melibatkan tinjauan barangan keperluan bagi memastikan bekalan mencukupi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
"Pagi tadi saya berada di dua pasar raya iaitu Savemore dan MU Superstore untuk melihat bekalan keperluan bagi memastikan sebab sekarang ini musim pilihan raya. Jadi, mungkin banyak orang-orang luar berada di satu-satu tempat di seluruh negeri Sabah, kami mahu memastikan supaya tidak ada aduan yang mengatakan tiada gula, minyak dan sebagainya," katanya
Beliau berkata hasil tinjauan mendapati bekalan termasuk gula dan minyak adalah mencukupi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami