PUTRAJAYA: Seramai 151,729 rakyat Kumpulan B40 yang merupakan penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) baru dikesan menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba

Dr Adham berkata, jumlah itu merupakan 33 peratus daripada 457,462 penerima Peka B40 yang menjalani saringan kesihatan di bawah skim ini.

Beliau juga menjelaskan, data yang membimbangkan ini adalah berdasarkan Laporan PeKa B40 2019-2020 yang dilancarkan pada Selasa.

"Jumlah ini adalah melibatkan Kumpulan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis (10.4%), kolesterol tinggi (29.8%), darah tinggi (13.8%), masalah mental seperti kemurungan (1.6%) dan keresahan (1.4%) selain daripada masalah obesiti dan sebagainya.

"Sebelum menjalani saringan kesihatan PeKa B40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpamanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Beliau memaklumkan Skim PeKa B40 yang diuruskan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) iaitu anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr Adham menjelaskan, skim ini memberikan empat manfaat iaitu Saringan Kesihatan, Bantuan Alat Perubatan sehingga RM20,000, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser berjumlah RM1,000 dan Insentif Tambang Pengangkutan sehingga RM1,000.

Skim ini memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit dan percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) / Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Selain itu, beliau juga memaklumkan sebanyak RM62.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh 15 April 2019 hingga 31 Disember 2020 untuk membiayai skim tersebut yang bertujuan untuk membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit rakyat Kumpulan B40.

"Daripada jumlah tersebut, RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat Saringan Kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat, serta ujian air kencing dan darah.

"Saringan kesihatan PeKa B40 ini dilakukan di klinik swasta dan juga Klinik Kesihatan KKM seluruh negara," katanya lagi.

Dr Adham juga menjelaskan, sebanyak RM20.9 juta dibelanjakan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan iaitu stent untuk jantung, alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, perentak jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang, prostesis dan ortosis tulang anggota, kanta mata untuk pesakit katarak, alat terapi pernafasan dan pemampat oksigen, bantuan sokongan nutrisi, dan kerusi roda.

Katanya, melalui kepakaran dalam melakukan pembelian strategik, ProtectHealth telah berjaya menjalankan rundingan harga bagi Drug Eluting Stent (DES) bagi penerima PeKa B40 sekali gus menghasilkan penjimatan wang Kerajaan melebihi RM10 juta.