MELAKA: Lebih 40 peratus populasi rama-rama di Asia Tenggara termasuk di Malaysia diancam kepupusan dalam tempoh 50 tahun akan datang sekiranya usaha pemuliharaan secara komprehensif tidak dilaksanakan dengan konsisten.
Pengarah Urusan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka Gerard Wong berkata antara usaha berkenaan ialah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan rama-rama dan alam semula jadi selain melaksanakan pembiakan spesies rama-rama yang diancam kepupusan.
Beliau berkata antara spesies berkenaan ialah Clipper, Yellow Birdwing dan Giant Tree Nymph.
"Kajian berkenaan dilaksanakan oleh penyelidik dari Universiti Malaya kerana sepatutnya menjadi satu kegusaran kepada masyarakat kita sebab rama-rama memainkan peranan yang sangat penting dalam keseimbangan ekosistem.
"Hal ini kerana rama-rama menjadi satu daripada ejen pendebungaan penting yang membantu pembiakan pelbagai jenis tumbuhan serta bunga, dan kepupusan haiwan berkenaan akan membawa kesan buruk kepada alam semula jadi dan memutuskan rantaian makanan hidupan lain termasuklah manusia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Rama-Rama dan Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-35 Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi memastikan spesies terancam berkenaan dapat terus dipelihara, pelbagai usaha dilaksanakan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka termasuk pembiakan rama-rama menerusi tiga makmal selain pelbagai program kesedaran awam termasuk Program Adopsi Kepompong Rama-Rama.
Beliau berkata setiap tahun, lebih 200,000 ekor rama-rama berjaya dibiakkan di makmal berkenaan dan 10 peratus daripadanya akan dilepaskan ke kawasan persekitaran sebagai antara usaha konservasi rama-rama.
"Usaha pembiakan yang dilaksanakan ini bukanlah mudah buat warga Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka kerana kami hanya sebuah syarikat swasta kecil dan tidak berasaskan money-oriented, sebaliknya lebih memberikan fokus kepada usaha penyelidikan dan pembiakan spesies rama-rama sejak 35 tahun lepas.
"Tetapi kos bagi menjalankan setiap proses pembiakan dan program konservasi memerlukan peruntukan yang besar dan kami hanya bergantung pada kutipan jualan tiket masuk ke Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka," katanya.
Beliau berkata berdasarkan rekod pada tahun lepas, kehadiran pengunjung ke pusat rekreasi dan konservasi rama-rama itu masih rendah, iaitu kira-kira 150,000 orang, sekali gus tidak dapat menampung kos keseluruhan operasi taman berkenaan.
Terdahulu, sebanyak 1,698 rama-rama daripada 15 spesies yang dibiakkan di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka dilepaskan sebagai usaha pemuliharaan haiwan itu, sekali gus mendapat pengiktirafan MBOR di bawah kategori “Largest Butterfly Release in a Conservation Event”.
Sijil pengiktirafan berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Christopher Wong kepada Gerard sambil disaksikan oleh Mohd Ali.
-- BERNAMA