KUALA LUMPUR: Graduan yang bekerja dalam pekerjaan bukan standard, termasuk pekerjaan berstatus sementara dan kontrak, separuh masa dan bekerja sendiri menunjukkan trend peningkatan sejak sedekad yang lalu.

Khazanah Research Institute (KRI) menerusi laporan bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia's Skilled Talents, mendapati hanya 46.8 peratus graduan pada 2010 bekerja dalam kategori tersebut.

Namun, pada 2021, ia telah meningkat kepada 55.9 peratus, dengan 16.1 peratus memilih untuk bekerja sendiri, separuh masa (14.6 peratus) dan kontrak atau sementara (25.2 peratus).

Graduan bekerja berdasarkan jenis pekerjaan, 2010-2021 - Laporan KRI

"Pekerjaan ini adalah bersifat lebih berisiko kerana pendapatan yang tidak tetap, perkembangan kerjaya yang terhad dan kurang perlindungan sosial.

"Peratusan graduan berstatus kerja tetap sepenuh masa turut menurun, daripada 53.2 peratus pada 2010 kepada 44.1 peratus pada 2021.

"Selain itu, lebih separuh graduan bekerja ingin menukar pekerjaan, menunjukkan tahap ketidakpuasan yang tinggi terutamanya disebabkan oleh terlebih kelayakan, gaji rendah dan jenis pekerjaan bukan standard," memetik laporan yang diterbitkan pada Isnin tersebut.

Malah, tinjauan itu turut mendapati wujud keberhasilan pekerjaan yang tidak sekata antara subkumpulan graduan baru dengan terdapat kumpulan yang lebih ke hadapan berbanding yang lain.

Mengambil contoh lepasan diploma dan ijazah, kelayakan yang lebih tinggi memberi kelebihan dalam peluang pekerjaan dan gaji.

"Sebanyak 69.3 peratus pemegang ijazah berjaya mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian berbanding 50.0 peratus lepasan diploma, yang kemudiannya menghadapi masalah terlebih kelayakan dan bergaji rendah.

"Malah, graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah lebih baik dalam mendapatkan pekerjaan, tetapi mempunyai prospek yang lebih sukar berbanding graduan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Walaupun kadar pekerjaan dalam kalangan graduan IPTA lebih tinggi, kadar terlebih kelayakan juga lebih tinggi dan mereka mendapat gaji permulaan yang lebih rendah berbanding graduan IPTS," memetik laporan itu.

Pecahan peratusan graduan pada 2021. - Laporan KRI

Dari segi jurang jantina, jurang pekerjaan tidak ketara, namun kekal wujud sekali gus menjadikan
graduan wanita sentiasa di belakang lelaki.

Graduan wanita dilapor lebih sukar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian, terdedah kepada masalah terlebih kelayakan dan cenderung untuk mendapat gaji permulaan bawah RM2,000.

Selain itu, laporan itu turut menyatakan bahawa graduan daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu di bawah RM5,000 mempunyai prospek kerjaya kurang memuaskan walaupun kadar mendapatkan pekerjaan adalah tinggi.

Malah, mereka lebih terdedah kepada masalah terlebih kelayakan dan gaji rendah, sekali gus mengehadkan peningkatan mobiliti ekonomi.

Nota:
(i) Bekerja merujuk kepada graduan yang sedang mempunyai pekerjaan semasa tinjauan dilaksanakan;
(ii) Terlebih kelayakan merujuk kepada graduan yang bekerja di bawah kelayakan;
(iii) gaji permulaan rendah adalah mereka yang menerima gaji bawah RM2,000 untuk pekerjaan pertama