KUALA LUMPUR: Seramai 590,625 atau 23.7 peratus pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah beralih kepada bil elektronik atau e-Bil setakat Disember 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman berkata ini menyumbang kepada pengurangan 25 peratus penggunaan kertas untuk salinan bil fizikal daripada 396,617 kilogram (kg) pada 2019 ke 297,380 kg tahun lepas, langkah ini bersamaan dengan menyelamatkan 2,620 pokok.

"Pada 2021, bilangan itu semakin meningkat, jadi kami menggalakkan agar lebih ramai pelanggan (membayar bil secara) dalam talian," katanya pada sidang media maya mengenai laporan kelestarian Air Selangor 2020 bertemakan 'Towards Sustainable Water Management' pada Rabu.

Beliau berkata operator perkhidmatan air itu komited dalam mendigitalkan perkhidmatannya termasuk menggalakkan pelanggan ke arah transaksi secara dalam talian dan menambah baik aplikasi mudah alih Air Selangor, selaras dengan perkembangan dunia ke arah pendigitalan.

Suhaimi turut mengetengahkan beberapa pencapaian Air Selangor menerusi pelbagai inisiatif kelestarian pada 2020 yang memberi kesan positif terhadap ekonomi, alam sekitar dan masyarakat.

Beliau berkata laporan kelestarian pertama itu menumpukan kepada usaha dan strategi Air Selangor dalam meneruskan pengurusan dan pentadbiran bekalan air yang efisien dan lestari dalam jangka masa panjang kepada lebih 8.4 juta pelanggan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Buat pertama kali pada 2020, Air Selangor menerbitkan Sukuk Murabahah merangkumi Nota Kewangan Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP) bernilai RM10 bilion.

"Menerusi program Sukuk Murabahah, Air Selangor akan dapat menerbitkan SRI Sukuk Kelestarian Air Selangor (Sukuk Kelestarian) pada masa hadapan untuk membiayai dan melaksanakan projek pelaburan lestari.

"Ini selaras dengan program pelaburan modal, strategi kelestarian dan matlamat pembangunan lestari," katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meluluskan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM5.09 bilion untuk tempoh operasi pertama berdasarkan Rancangan Perniagaan 30:35 Air Selangor pada November 2020 untuk melaksanakan inisiatif dan rancangan strategik pengurusan bekalan air yang mampan.

Pada 2020, Air Selangor mengalami penurunan kadar purata Air Tidak Berhasil (NRW) ke paras 29.7 peratus pada 2019 ke 28.53 peratus, melebihi sasaran 29.2 peratus oleh SPAN.

Beliau berkata Air Selangor bertekad untuk terus menurunkan kadar NRW ke 25 peratus menjelang 2025 dan 15 peratus pada 2049.

Selain itu, Suhaimi menambah, pendapatan Air Selangor pada 2020 meningkat kepada RM2.18 bilion, peningkatan 3.62 peratus berbanding RM2.10 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, mengenai keperluan kerajaan memperkenalkan tabung inisiatif bagi mengurangkan kadar pembayaran bil air, beliau berkata pelbagai aspek perlu diteliti terlebih dahulu seperti kewajaran dan kegunaan tabung itu untuk pengguna terutamanya mereka yang terkesan akibat COVID-19 dan kawalan pergerakan.

Menurutnya, pemberian diskaun bil air merupakan keputusan kerajaan dan bukan Air Selangor seperti diskaun bil elektrik di bawah inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan PEMERKASA Tambahan.

"Bagi kami, tiada tabung untuk bekalan air. Sebarang (pengumuman mengenai) diskaun akan dibuat oleh kerajaan.

"Bagi pihak kami, kami telah menyerahkan tarif air...sekiranya kerajaan nak buat tabung, perlu diteliti untuk kegunaan apa dan berapa peratus diskaun (akan diberikan)," katanya.