Djokovic belum sedia bersara, Ronaldo, LeBron dan Brady jadi inspirasi

Djokovic kini berada di Arab Saudi bagi menyertai kejohanan eksklusif Six Kings Slam. - Gambar Reuters
RIYADH: Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic menegaskan, beliau belum merancang untuk bersara daripada sukan itu, sebaliknya terus bersemangat untuk beraksi dengan menjadikan Cristiano Ronaldo, LeBron James dan Tom Brady sebagai sumber inspirasinya.
Pemenang 24 gelaran Grand Slam itu yang kini berusia 38 tahun berkata, melihat ketahanan dan semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh tiga ikon sukan dunia itu memberinya dorongan untuk terus bermain.
“Ketahanan dan kemampuan bertahan lama adalah antara motivasi utama saya. Saya benar-benar ingin melihat sejauh mana saya boleh pergi,” katanya ketika berucap di Joy Forum di Riyadh.
“Jika kita lihat dalam arena sukan dunia, LeBron James masih gagah bermain pada usia 40 tahun, Cristiano Ronaldo juga masih beraksi, manakala Tom Brady bermain sehingga usia lewat 40-an. Ia sesuatu yang luar biasa dan turut memberi inspirasi kepada saya untuk terus berjuang.”Walaupun kali terakhir menjuarai Grand Slam pada 2023, Djokovic tidak menunjukkan tanda-tanda untuk memperlahankan rentak apabila mara ke separuh akhir keempat-empat kejohanan utama tahun ini dan kini menduduki ranking kelima dunia.
Djokovic kini berada di Arab Saudi bagi menyertai kejohanan eksklusif Six Kings Slam dan bakal menentang pemain Itali, Jannik Sinner pada Khamis bagi merebut tiket ke final menentang pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz.
Pemain yang meraih gelaran ke-100 sepanjang kariernya di Geneva tahun ini turut menyuarakan keinginannya untuk menjadi sebahagian daripada perubahan besar dalam dunia tenis.
“Saya mahu terus bermain secara profesional untuk menyaksikan sendiri perubahan yang bakal berlaku dalam sukan ini. Saya sangat teruja kerana percaya tenis akan melalui transformasi besar dalam masa terdekat.
“Saya mahu menjadi sebahagian daripada perubahan itu — bukan sekadar menyaksikan, tetapi turut berada di gelanggang ketika era baharu itu bermula,” ujarnya.
Apabila ditanya sama ada generasi muda seperti Sinner dan Alcaraz perlu menewaskannya terlebih dahulu sebelum beliau bersara, Djokovic hanya tersenyum sambil menjawab: “Maaf untuk mengecewakan mereka, tapi perkara itu tidak akan berlaku.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami