Sejumlah 609 jemaah dari Sarawak dikenal pasti menghadiri perhimpunan ijtimak (perjumpaan) tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan beberapa kes jangkitan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata jumlah sebenar jemaah yang menyertai perhimpunan berkenaan masih belum diketahui kerana jawatankuasa masih meneliti Borang Pengisytiharan Kesihatan yang diperolehi daripada penumpang yang masuk ke negeri antara 2 dan 5 Mac.

"Saya berharap mereka yang masih belum melapor diri, dapat berbuat demikian segera di jabatan kesihatan atau hospital berhampiran kerana ia membabitkan kesihatan mereka dan masyarakat umum," katanya, dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Terdahulu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri, menghadiri taklimat tertutup berhubung situasi penularan COVID-19, yang mana beliau dimaklumkan seramai 102 orang jemaah yang menghadiri perhimpunan itu adalah dari Miri.

"Saya dimaklumkan dari Miri sahaja, seramai 74 peserta perhimpunan itu telah menjalani ujian saringan di hospital," katanya.

Uggah turut menggesa rakyat Sarawak yang menghadiri acara sukan, Larian Borneo Ultra Trail di Kota Kinabalu baru-baru ini, melapor diri di jabatan kesihatan terdekat untuk menjalani pemeriksaan.

Beliau berkata langkah ini penting kerana terdapat lebih banyak kes positif COVID-19 di Sabah berbanding di Sarawak.

Sehingga hari ini, Sarawak merekodkan 20 kes positif COVID-19 manakala 49 kes di Sabah.

Sementara itu, beliau berkata 12 individu sedang dipantau di Perkampungan Sukan Petronas, yang dijadikan pusat kuarantin di Miri.

Katanya, Hospital Miri mempunyai kakitangan dan kelengkapan peralatan yang tersedia untuk menghadapi situasi COVID-19, di samping bekerjasama dengan hospital swasta di bahagian utara Sarawak.

"Saya memberi jaminan kepada rakyat di Miri dan di negeri ini, bahawa kami menyediakan yang terbaik untuk mereka," katanya.

-- BERNAMA