Lebih 7,000 Orang Asli di Gua Musang perlukan 11 jambatan

Rundingan sedang dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk syarikat pembalakan, pengusaha ladang sawit dan ladang durian untuk membantu membaiki jalan rosak serta membina jambatan sementara.

Jambatan konkrit yang merentasi Sungai Galas ke Kampung Batu Enam Renok, Gua Musang, runtuh akibat arus deras selepas ditenggelami air selama enam jam 12 Julai lalu. --fotoBERNAMA | Astro Awani
Sebanyak 11 jambatan konkrit dengan peruntukan dianggar RM50 juta perlu dibina di sekitar lima perkampungan Orang Asli di jajahan ini, bagi menggantikan jambatan yang runtuh atau tidak selamat akibat banjir lumpur yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palas Mohd Syahbuddin Hashim berkata jambatan tersebut masing-masing satu di Kampung Kuala Betis dan Pos Hendrop, enam jambatan di antara Pos Bihai dan Pos Belatim serta tiga jambatan ke Pos Tohoi yang sebelum ini hanya dihubungi jambatan kayu balak.

"Proses ini akan mengambil masa kerana perlu memohon peruntukan kerajaan.

"Ketika ini kita cuba berunding dengan pelbagai pihak termasuk syarikat pembalakan, pengusaha ladang sawit dan ladang durian untuk membantu membaiki jalan rosak serta membina jambatan sementara," katanya kepada pemberita selepas melawat jambatan runtuh di Jalan Pos Tohoi, di sini pada Selasa.

Katanya pada masa sama isu itu perlu diselesaikan segera kerana membabitkan lebih 7,000 penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan yang perlu ke bandar untuk mendapatkan barang keperluan termasuk makanan.

Sepanjang minggu lalu, hujan lebat memusnahkan beberapa jambatan menyebabkan penduduk Orang Asli berkenaan terputus hubungan, selain memaksa sebahagian menggadai nyawa melalui landasan kereta api dan jambatan kayu yang sudah usang.

Mohd Syahbuddin turut menyifatkan kejadian banjir lumpur itu yang terburuk pernah berlaku kerana menyebabkan seluruh jalan perhubungan ke perkampungan Orang Asli terbabit terputus.

-- BERNAMA