Skip to main content

Malaysia

Lebih 700 warga KUSKOP hadiri Tausiyah Khas Ramadan bersama Habib Ali Zaenal Abidin

Sumber: KUSKOP
Steven Sim (empat dari kanan) turut hadir pada majlis Tausiyah Khas Ramadan yang disampaikan pendakwah tersohor Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid (tiga dari kanan) di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, pada Khamis. - Gambar ihsan KUSKOP

KUALA LUMPUR: Lebih 700 warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya menghadiri majlis Tausiyah Khas Ramadan yang disampaikan pendakwah tersohor Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, pada Khamis.

KUSKOP dalam satu kenyataannya memaklumkan, penganjuran program berkenaan memperlihatkan komitmen kementerian dalam memperkukuh aspek spiritual dan pembangunan sahsiah warga kerjanya. 

Advertisement

Pada majlis itu, Habib Ali Zaenal Abidin menyampaikan tazkirah bertajuk “Ramadan Melatih Adab” yang menyentuh pelbagai aspek penting dalam kehidupan manusia.

"Tradisi mengimarahkan Ramadan dengan pengisian rohani oleh para alim ulama ini merupakan kesinambungan kepada usaha Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong yang sebelum ini pernah menganjurkan majlis seumpamanya di Kementerian Sumber Manusia.

"Melalui program sebegini, KUSKOP bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi, malah terhadap pembangunan sahsiah serta kualiti peribadi setiap individu dalam kementerian," menurut kenyataan itu.

Majlis itu turut dihadiri Steven Sim dan timbalannya, Datuk Mohamad Alamin.

Kenyataan itu memaklumkan, KUSKOP bertekad untuk terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan dan koperasi di Malaysia, serta memastikan setiap langkah diambil berlandaskan nilai-nilai murni yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video