KUALA LUMPUR: Malaysia kini diiktiraf dalam mengaplikasikan sistem pendaftaran berasaskan teknologi digital yang canggih, moden dan mesra pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, kejayaan itu disumbang usaha Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mentransformasikan proses pendigitalan bagi mendaftarkan pelbagai entiti perniagaan.

Bahkan, katanya SSM juga telah berjaya mengurangkan tempoh masa diambil bagi memulakan perniagaan dan perbadanan syarikat di Malaysia.

“Sebanyak 8,568,916 perniagaan, 31,168 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dan 1,446,196 syarikat telah didaftarkan sehingga 31 Mac 2022.

“Bukan mudah menguruskan maklumat entiti perniagaan sebanyak ini. Setiap maklumat entiti perniagaan yang aktif ini pula perlu dikemas kini setiap tahun.

“Jika tiada pasukan yang hebat, memang mustahil menguruskan pelbagai transaksi bagi setiap entiti perniagaan ini seperti pembaharuan pendaftaran perniagaan, pertukaran pengarah, perubahan pemilikan saham dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Ulang Tahun Sambutan SSM Ke-20 di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, sepanjang dua dekad beroperasi, SSM terus membina asas kukuh dalam memainkan peranan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mencapai visi menjadi pendaftar dan pengawal selia terulung.

“Ini dapat dibuktikan dengan pengenalan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan rakyat memilih perniagaan sebagai kerjaya melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) dan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P).

“Skim itu menawarkan pengecualian fi pendaftaran perniagaan dengan penjimatan sebanyak RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred, RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri serta RM10 untuk cetakan maklumat.

“SSM juga telah meraih pelbagai pengiktirafan domestik dan juga antarabangsa sebagai fasilitator ke arah menjadikan Malaysia berdaya saing dan salah satu destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Katanya lagi, SSM juga merupakan satu-satunya agensi yang menawarkan produk Digital Certified True Copy (CTC) bagi salinan dokumen-dokumen dan imej yang diserahsimpan kepada SSM.

“Dengan adanya pengesahan secara digital ini, salinan dokumen-dokumen atau imej dokumen yang dibekalkan SSM boleh disemak dengan mudah keaslian dokumen tersebut secara atas talian,” katanya.

Jelasnya, Produk Digital CTC yang diperkenalkan SSM itutelah memperolehi pelbagai anugerah dan pengiktirafan seperti anugerah IDC Digital Transformation Awards 2018, Kategori Information Visionary pada 9 Oktober 2018 dan DX Awards Kategori Information Visionary pada 25 Oktober 2018.