Sebanyak 92,891 kes denggi membabitkan 214 kematian direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, berbanding 106,757 kes dan 293 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata situasi itu menunjukkan trend penurunan 13 peratus atau 13,866 kes denggi.

"Negeri Selangor merupakan penyumbang utama kepada kes denggi iaitu 51.3 peratus atau 47,257 kes daripada jumlah kes keseluruhan," katanya.

Dr Hilmi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes peringkat Negeri Selangor di Gugusan Tanjung, Kota Damansara, hari ini.

Katanya Gugusan Tanjung, Seksyen 6 Kota Damansara itu dipilih kerana ia merupakan lokaliti hotspot dengan jumlah 51 kes denggi dicatatkan dalam tempoh berkenaan tahun ini berbanding tiga kes pada tempoh sama tahun lepas.

"Peningkatan kes di kawasan ini perlu dibendung dengan segera memandangkan masalah utama adalah pembuangan sampah di persekitaran dan longkang tersumbat menjadi punca pembiakan Aedes," katanya.

Sebanyak RM16.5 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dalam membendung kes demam denggi dan melaksanakan program 'Jelajah Negeri Selangor; Inikan Rumah Kita' di seluruh negeri ini, kata Dr Hilmi.

Seramai 200 peserta terlibat dalam program berkenaan bagi menjayakan gotong-royong dengan penglibatan pelbagai agensi seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan lain-lain agensi.

-- BERNAMA