KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin akan ada lebih banyak perkara yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan ditunaikan kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, perkara yang dituntut oleh kerajaan Sarawak dan Sabah di dalam MA63 tidak terlalu banyak malah kekal seperti apa yang terkandung di dalam perjanjian berkenaan.

“Walaupun kita menuntut MA63, ia hanyalah hasrat untuk kita mengembalikan semula apa yang telah tertulis, tidak banyak dan tidak berubah.

“Saya percaya bahawa Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa perkara dan saya yakin esok mungkin ada tambahan dari segi persetujuan,”  katanya.

Beliau berucap semasa Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Khamis.

Tambah Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu lagi,  kerajaan Sarawak akan sentiasa menyokong agenda yang dilaksanakan Anwar sebagai pemimpin kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya menjamin Sarawak berada di belakang kerajaan Persekutuan, saya yakin beliau mempunyai semangat dan telah membantu kita semasa beliau menjadi Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dahulu.

“Dengan latar belakang dan ilmu pengetahuan beliau, bukan sahaja untuk Sarawak juga kepada Sabah, kita boleh membentu satu semangat berpasukan demi warga Malaysia,” ujarnya lanjut.

Pada Jumaat, Anwar dijadualkan untuk menghadiri dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan  Pelaksanaan MA63 di Bilik Majlis Raja-Raja Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh kepimpinan daripada Sarawak dan Sabah terutama Abang Johari, dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.