KUALA LUMPUR : Program Pemilikan kediaman atau lebih dikenali sebagai Home Ownership Programme (HOPE) merupakan inisiatif kerajaan dalam memastikan lebih banyak perumahan mampu milik dapat dibina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu juga selari dengan gagasan kerajaan iaitu ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

Ujar Ismail Sabri, HOPE bukan sahaja platform dalam mempromosikan perumahan malah ia juga bertujuan melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

“Dalam hal ini, komitmen Kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki, haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta.

“Bahkan dalam soal pemilikan rumah ini juga, ia harus didokong oleh ekosistem institusi kewangan yang lebih menyokong dan memudahkan urusan pemilikan,” katanya ketika merasmikan  Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (HOPE) dan Pelancaran Karnival Jom Beli Rumah di ibu negara pada Jumaat.

Selain itu, Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kementerian Kewangan juga merupakan usaha bagi memudahkan proses untuk memiliki rumah.

KPKT katanya, bakal membangunkan indeks harga rumah mampu milik yang akan menjadi sumber rujukan Keluarga Malaysia berhubung harga rumah di seluruh negara.

Dalam pada itu, kerajaan turut menyasarkan pembinaan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan melibatkan kerjasama beberapa pihak.