KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk membina lebih banyak 'struktur sabo' di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata struktur sabo tersebut dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat.

"Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara (MAN) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai 2023 sehingga 2030.

Ismail Sabri juga mengarahkan kementerian dan agensi terbabit meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.

"Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati ini perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baru sepertimana yang telah dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat.

"Penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan mesyuarat MAN hari ini juga telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan iaitu Transformasi Sektor Air 2040 (WST2040) yang akan dilaksanakan di pelbagai peringkat melalui Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan WST2040.

Beliau berkata Agenda Transformasi Sektor Air 2040 menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor air negara bagi menjamin sekuriti dan kelestarian air selain menjadikan sektor air sebagai pemangkin ekonomi negara.

Kertas pertimbangan kedua adalah pengiktirafan perkhidmatan Makmal Kualiti Air (MKA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebagai Makmal Forensik Penyelidikan Air, yang akan berfungsi sebagai pusat rujukan dalam menyelidik kejadian pencemaran air.

Perdana Menteri berkata makmal yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dengan kepakaran yang kompeten dan diiktiraf Institut Kimia Malaysia serta Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia itu boleh menjadi alternatif kepada makmal Jabatan Kimia bagi forensik penyelidikan pencemaran air.

Beliau memaklumkan mesyuarat juga bersetuju dengan perkongsian Peta Hazard Banjir kepada awam yang menunjukkan kawasan kebarangkalian yang boleh dinaiki air berdasarkan peta guna tanah semasa dan akan datang.

Ismail Sabri berkata amalan perkongsian Peta Hazard Banjir yang turut dilaksanakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom itu membantu pihak berkepentingan dalam perancangan pembangunan seperti Rancangan Tempatan Daerah atau Rancangan Struktur Negeri serta perancangan pengurusan bencana banjir.

MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.

Ismail Sabri berkata selaras dengan aspirasi 'Keluarga Malaysia Lestari', kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu pengurusan air negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

-- BERNAMA