KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa jumlah keseluruhan pengagihan bantuan kepada mangsa bencana yang layak bagi tempoh 2020 hingga 2022 ialah sebanyak RM963.65 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata ia merangkumi jumlah agihan sebanyak RM5.4 juta pada tahun 2020, RM113.63 juta (2021) dan RM844.62 juta (2022).

"Bagi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023, kerajaan telah menyalurkan peruntukan lebih awal sebanyak RM330 juta kepada semua negeri bagi memastikan bantuan bencana dapat disampaikan dengan segera dalam tempoh berkenaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu sama ada kesemua peruntukan bagi operasi bantuan bencana telah diaudit, dan pecahan perbelanjaan bantuan bencana dari tahun 2020 sehingga kini.

Katanya hampir kesemua peruntukan operasi bantuan bencana disalurkan terus kepada kerajaan negeri yang berkaitan, dan ia diaudit oleh kerajaan negeri berkenaan.

"Bagi perbelanjaan operasi bantuan bencana yang telah dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), ia telah diaudit melalui beberapa siri pengauditan naziran," katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Patrick Insol mengenai jenis bantuan yang disalurkan ketika bencana, Wilson berkata kerajaan akan meneruskan bantuan bagi mangsa bencana yang layak seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) bernilai RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah serta RM10,000 kepada waris setiap mangsa yang meninggal akibat bencana.

"Selain itu Bantuan Barang Keperluan Asas (BBKA) bernilai RM2,500 diberikan kepada setiap KIR dan juga Bantuan Pembaikan Rumah (BPR) dengan had nilai maksimum RM5,000.

"Bagi kejadian-kejadian bencana yang berlaku di luar tempoh MTL, kerajaan akan meneruskan pemberian BWI kepada setiap KIR yang layak dan disahkan oleh pegawai bencana negeri dan juga daerah," katanya.

-- BERNAMA