PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa siasatan berhubung rasuah dan salah guna terhadap tokoh yang bergelar Tun adalah sukar.

Mengambil dirinya sebagai contoh, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu mendakwa, beliau adalah individu yang mudah untuk disiasat memandangkan tidak lagi mempunyai kuasa.

Dakwanya lagi, golongan yang paling sukar untuk disiasat ialah mereka yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, malah Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saya mudah untuk disiasat sebab kerajaan ada kuasa - Tun M

“Saya mudah disiasat, kerana Kerajaan mempunyai kuasa, Saya tak ada kuasa, yang susah nak investigate ialah Perdana Menteri. Yang susah nak investigate ialah ketua kepada SPRM. Yang susah nak investigate, ialah pegawai tinggi dalam Kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri.

“Itu susah. Anda tak boleh siasat mereka? Kenapa tak boleh siasat? Kerana dahulu pendakwaan biasanya akan dipendekkan, atau dihentikan. Tiada siasatan ke atas individu yang berprofil tinggi seperti mereka.

"(Yang sukar disiasat) bukan Tun... Anwar bukan Tun, (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi bukan Tun, (Tan Sri) Azam Baki (KP SPRM) bukan Tun, tetapi mereka tak boleh disiasat,” dakwanya lagi.

Tun M sedar kenyataannya akan mendapat reaksi daripada kerajaan

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Putrajaya, berhubung kenyataan Anwar sebelum ini bahawa individu bergelar Tun tidak mudah disiasat.

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan ke atas tokoh bergelar Tun agak 'pelik' kerana ia bukan sesutau yang mudah, berbanding siasatan ke atas individu seperti ketua kampung atau guru sekolah.

Tun M minta tunjuk bukti jika ada bukti berkotak-kotak

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut membangkitkan semula kes-kes lama seperti surat akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Murad Khalid bertarikh 28 Oktober 1999 yang mendakwa Perdana Menteri mempunyai aset sekitar RM3 bilion dalam 20 akaun utama.

Selain itu beliau turut mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa, selain tiada siasatan ke atas saham milik adik kepada Azam, iaitu Nasir Baki.

“Jadi dia boleh sita harta, saya adalah rumah sikit, duit pun ada sikit. Saya nak beritahu saya ini tak ada siapa pun buat tuduhan. Kalau ada tuduhan (ke atas saya), it should be investigated, dan kalau ada beritahu saya apa dia tuduhan itu.

“Supaya saya boleh prepare grounds to protect myself in the Court of Law. Dia kata kepada anak saya (Datuk Mirzan Mahathir) ada tuduhan. Jadi kena buat itu ini, kalau tak kena hukuman penjara lima tahun. This is the government of Malaysia,” katanya sinis. 

Media sebelum ini melaporkan, dua individu yang berkaitan dengan Dr Mahathir, iaitu bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, dan Mirzan, sedang disiasat oleh SPRM susulan nama mereka tersenarai dalam Pandora Papers dan Panama Papers.

Bagaimanapun Dr Mahathir menganggap langkah itu tidak ada kena-mengena dengan undang-undang negara, sebaliknya hanya bermotifkan politik dan dendam.