IPOH: Perak terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang memberitahu tidak menerima permohonan daripada kerajaan negeri bagi menaik taraf laluan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan di Parlimen baru-baru ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya terkejut dengan kenyataan Abdul Rahman itu dengan menyifatkan ia memberi gambaran seolah-olah kerajaan negeri tidak membuat kerja. 

Jelasnya kerajaan negeri telah membuat permohonan berhubung naik taraf laluan yang menelan belanja RM80 juta itu kepada kerajaan Persekutuan pada tahun lalu. 

“Orang ramai akan melihat seolah-olah kerajaan negeri tidak bertanggungjawab, tidak prihatin dan tidak buat kerja. Ia tidak adil kepada kita kerana kita sudah buat kerja sebelum ini.  

“Bukan setakat hantar surat, malah kita ada mengusulkan perkara itu ketika pertemuan dengan perdana menteri beberapa hari sebelum pembentangan Belanjawan 2023. 

“Kalau tidak boleh luluskan permohonan itu, sebutkan sahaja ia tidak boleh diluluskan. Jangan kata kerajaan negeri tidak buat kerja. Itu kita tidak setuju. 

“Kita faham Kerajaan Persekutuan ada kekangan daripada segi peruntukan akan tetapi cara jawapan beliau itu kita tidak setuju,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan Kolokium Kerajaan Tempatan Negeri Perak (KKT Perak) di sini pada Selasa. 

Dalam pada itu, Saarani berkata beberapa siri kajian dan pemantauan telah dilakukan termasuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Daerah Gerik berkenaan kerosakan struktur lebuh raya berkenaan.

Malah ujarnya Menteri Kanan Kerja Raya sebelum ini iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof juga pernah membuat lawatan kerja ke lokasi bersama-sama beliau pada Jun tahun lalu bagi membuat tinjauan berhubung masalah berkenaan. 

Justeru beliau berharap Abdul Rahman dapat membuat pembetulan kenyataannya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat nanti. 

“Di peringkat negeri kita rasa sangat terkilanlah dan melihat perkara ini agak serius. Sebab jawapan (kenyataan) itu dijawab secara lisan di dalam Parlimen dan dimasukkan ke dalam hansard dan orang ramai akan beranggapan apa yang dinyatakan itu betul,” jelasnya. 

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan jawapan diberikan Abdul Rahman ketika menjawab menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob pada Persidangan Dewan Rakyat, 28 Februari lalu. 

Ketika itu Fathul Huzir telah meminta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah usaha kerajaan untuk menaik taraf atau membina semula Lebuhraya Timur Barat FT004 (JRTB) yang telah berusia lebih 40 tahun selain kerap berlaku kemalangan maut di lokasi berkenaan. 

Berdasarkan hansard Parlimen bertarikh 28 Februari 2023, Abdul Rahman memberi tahu bahawa KKR tidak menerima permohonan menaik taraf jalan berkenaan daripada Kerajaan Negeri Kelantan, Perak dan Kedah pada rolling plan ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12.