BENTONG: Baru hari ke-10 memasuki tahun 2023, Kilometer (KM) 40 hingga KM 45 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah mencatatkan lima kemalangan, dengan nahas terbaharu membabitkan tiga kenderaan berat, awal pagi tadi.

Kejadian pada jam 6.05 pagi di KM 42.7 dekat Bukit Tinggi itu, membabitkan dua treler masing-masing membawa muatan kapur dan besi buruk dan sebuah lori membawa bingkai almunium serta kayu untuk pengubahsuaian rumah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan mendapati nahas dipercayai berpunca daripada kegagalan brek sebuah treler ketika menuruni bukit di laluan itu.

"Treler terbabit melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong sebelah kiri dan rempuhan itu menyebabkan lori berkenaan terbalik.

"Treler itu kemudian melanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah lagi treler yang berada di hadapan sebelum hilang kawalan dan terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kesemua tiga pemandu serta seorang kelindan, warga tempatan berusia antara 20 hingga 45 tahun terselamat.

Bagaimanapun, seorang pemandu treler berusia 45 tahun dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Zaiham berkata, pada waktu malam, laluan selepas Terowong Genting Sempah menuju ke arah timur tiada lampu jalan dan terlalu gelap berbanding laluan dari Plaza Tol Gombak menuju ke Terowong Genting Sempah.

"Mungkin sudah tiba masa pihak berwajib atau pihak konsesi lebuh raya mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelak lebih banyak kemalangan berlaku," katanya.