AMPANG: Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 98 peratus pada Ogos lalu dan dijangka menerima 80,000 pengguna lebuh raya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, fasa pertama sepanjang 16.6 kilometer yang bermula dari persimpangan Cheras-Kajang hingga persimpangan Bukit Antarabangsa akan dibuka kepada pengguna terlebih dahulu apabila dilancarkan kelak.

Beliau berkata, SUKE juga bakal menjimatkan masa perjalanan pengguna sehingga 25 minit berbanding jalan sedia ada.

“Anggaran apabila ia siap dibuka, kami harap dapat mengurangkan kesesakan trafik terutamanya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Loke Yew dan Jalan Ampang.

“Secara amnya, kita sasarkan penjimatan sebanyak 30 peratus kesesakan di laluan sedia ada. Jadi, SUKE ini lebih kepada memberi alternatif kepada para pengguna lebuh raya bahawa SUKE sebagai alternatif lebih cepat, selesa, selamat dan efisien kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Taklimat Mengenai Perkembangan Projek Lebuhraya SUKE, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Azlan memberitahu, baki daripada keseluruhan laluan utamanya di persimpangan Sungai Besi dan persimpangan Alam Damai pula dijangka siap pada suku pertama 2023.

Katanya, SUKE juga dibangunkan dengan pelbagai ciri dan struktur yang menarik kepada pengguna jalan raya.

“Pertamanya, struktur jejambat lebuh raya yang ketiga tertinggi di Malaysia, setinggi 56.4 meter dan juga reka bentuk akses ke lebuh raya dikenali sebagai helikoidal, dua tingkat untuk sampai ke jalan utama di lebuh raya utama.

“Selain itu, juga diiktiraf beberapa anugerah dari segi reka bentuk terbaik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Malaysia Book of Records dari segi ketinggian,” ujarnya.

Untuk rekod, Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4 kilometer bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang mula dibina pada Ogos 2016 dan menelan jumlah keseluruhan kos pembinaan sebanyak RM5.7 bilion.