Penjenayah di Malaysia semakin berani kerana adegan-adegan seperti tembak menembak yang hanya boleh disaksikan dalam filem sebelum ini, sudah mula dilihat dalam kehidupan seharian.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata perkara ini amat membimbangkan dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berkuasa.

Lee berkata demikian ekoran kejadian Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan ditembak oleh lelaki yang tidak dikenali pada Sabtu.

“Aktiviti berani penjenayah-penjenayah kini amat membimbangkan rakyat Malaysia.

“Walaupun pihak polis telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat kes tembakan ini, saya rasa perkara ini harus dibincangkan di peringkat Kabinet untuk penyelesaian yang cepat.

“Kabinet harus perlu melibatkan agensi-agensi keselamatan untuk tampil dengan cara penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai,” katanya kepada Astro Awani.

Lee turut berharap bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan yang menyeluruh.

“Pihak polis juga harus menentukan bagaimana senjata api haram boleh digunakan dengan begitu berleluasa sekali. Antara cara memungkinkan pemilikan senjata api haram berlaku adalah melalui penyeludupan dan penggunaan pembunuh upahan,” katanya.

Kes-kes penembakan seperti ini kerap berlaku dalam beberapa bulan yang lepas.

Pada 26 April, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, maut ditembak ketika dalam perjalanan pejabatnya di Putrajaya.

Pada 25 May, seorang peraih ikan Zahari A. Razak yang baru keluar dari Masjid Nurul Anuar, di Kampung Pachakan di Cherang Ruku, Pasir Puteh, selepas solat Isyak, maut ditembak lelaki bermotosikal.

Pada 8 Julai, seorang guru penolong kanan, Hashim Mat Zain, maut ditembak sebanyak tiga das dari jarak dekat ketika baru keluar dari Sekolah Rendah Kebangsaan Beris Panchor di Bachok.

Pada 18 Julai, guru sekolah menengah K. Shanmugam dari Taman Biadara, Kulim, maut selepas ditembak dua lelaki di Simpang Empat Keladi ketika memandu ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam.