Skip to main content

Malaysia

DBKL anjur sesi townhall, perkukuh ekosistem aktiviti larian di ibu negara

FB Hannah Yeoh
Sesi townhall itu dihadiri Hannah dan Fadlun Mak Ujud bersama pengurus acara larian serta wakil kelab pelari dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang. - Gambar Facebook Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan sesi dialog awam atau townhall bersama komuniti pelari dan penganjur acara larian sebagai usaha memperkukuh ekosistem aktiviti larian serta rekreasi di ibu negara.

Dalam kenyataan hari ini, DBKL memaklumkan sesi itu menjadi platform penting untuk mendengar pandangan komuniti pelari mengenai pelbagai isu, cabaran dan keperluan dalam melaksanakan aktiviti larian yang kini semakin berkembang sebagai satu budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Perkembangan ini menunjukkan bahawa aktiviti rekreasi tidak lagi tertumpu di taman awam atau kawasan perumahan semata-mata, malah turut memanfaatkan ruang awam dan laluan bandar yang lebih luas.

“Sesi ini memberi ruang kepada peserta untuk mengemukakan cadangan dan maklum balas ke arah memperkukuh pembangunan ekosistem aktiviti larian dan rekreasi di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Sesi itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud bersama pengurus acara larian serta wakil kelab pelari dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Menurut DBKL, perbincangan turut memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting termasuk keselamatan laluan larian, kesesuaian dan kebolehcapaian kemudahan untuk komuniti pelari, keberkesanan penganjuran acara larian di Kuala Lumpur serta cadangan penambahbaikan terhadap infrastruktur dan kemudahan awam yang menyokong gaya hidup aktif. 

Penganjuran sesi itu juga mencerminkan usaha berterusan untuk menghidupkan ruang awam melalui aktiviti sihat dan berimpak positif yang mampu memperkukuh interaksi sosial, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih mesra rekreasi dan aktif. 

Sementara itu, program KL Car Free Morning pada setiap Ahad yang merupakan satu daripada produk utama DBKL, dilihat sebagai platform yang berkesan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti riadah dan gaya hidup sihat di samping mengoptimumkan penggunaan ruang awam secara lebih inklusif. 

“Komitmen berterusan daripada semua pihak diyakini mampu menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang lebih sihat, selamat, aktif dan berdaya huni selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement