Skip to main content

Politik

Projek Infrastruktur Johor: ‘Mengapa DAP dijemput, kerajaan negeri tidak?’ – Onn Hafiz

Onn Hafiz, Anthony Loke. BERNAMA
Onn Hafiz mempersoalkan protokol Kementerian Pengangkutan, selepas krajaan negeri tidak dilibatkan dalam program melibatkan projek infrastruktur Johor sebelum ini. - Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa terharu dengan 'jemputan ikhlas' daripada Anthony Loke untuk menghadiri program pelaksanaan projek KTM Komuter yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Johor itu mendakwa, sehingga kini masih belum menerima sebarang surat jemputan rasmi atau butiran lanjut daripada Kementerian Pengangkutan.

Onn Hafiz berkata, beliau hanya dimaklumkan mengenai jemputan tersebut menerusi laporan media yang memetik kenyataan Loke sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya (PH) Negeri Sembilan, pada Jumaat.

Namun pada masa sama, beliau membangkitkan beberapa program kementerian sebelum ini yang didakwa tidak melibatkan kerajaan negeri, termasuk lawatan berkaitan projek infrastruktur di Johor.

“Terkini adalah pada 3 April 2026, ketika lawatan kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link, kerajaan negeri sekali lagi tidak dijemput. Namun beberapa pemimpin DAP Johor pula dilihat hadir dalam program. 

“Apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, saya dimaklumkan jemputan hanya melibatkan pihak vendor/pembekal. Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini merupakan vendor/pembekal?

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan akan melapangkan jadual kerana projek ini adalah demi kesenangan Bangsa Johor, bukan kerjasama politik, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Latar belakang pertikaian

Kenyataan itu hadir dalam konteks ketegangan terbuka antara Onn Hafiz dan Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor 1 Jun lepas.

Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan menyatakan pendirian tidak mahu duduk semeja dengan pemimpin DAP dalam program tertentu, kenyataan yang kemudian dibalas Loke sebagai tidak wajar kerana Presiden UMNO sendiri duduk bersama beliau dalam mesyuarat Kabinet.

Pertikaman lidah tersebut, menurut pemerhati politik, mencerminkan perbezaan nada politik dalam Kerajaan Perpaduan, meskipun melibatkan projek awam yang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Sumbangan Johor dalam projek

Mengulas lanjut, Onn Hafiz menegaskan, kerajaan negeri turut memainkan peranan dalam menjayakan projek KTM Komuter, termasuk menyalurkan bantuan RM700,000 bagi kerja menaik taraf tren.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) menyediakan perkhidmatan bas pengantara dengan kos operasi sekitar RM86,000 serta menambah baik laluan Bas Muafakat Johor.

“Perkongsian ini bukan untuk ‘claim credit’, tetapi bagi memaklumkan bahawa Johor bukan sekadar menerima, sebaliknya turut membantu menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau menegaskan projek pembangunan bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya perlu dilaksanakan secara profesional demi kepentingan rakyat.

Onn Hafiz dalam masa sama memaklumkan akan menunggu jemputan rasmi sebelum menghadiri program berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement