KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap legasi yang ditinggalkan ulama tersohor Prof Yusuf Al-Qaradawi membekas dalam sanubari setiap umat Islam.

Anwar juga menganggap pemergian Yusuf sebagai kehilangan seorang mujaddid ulung dunia Islam yang mengesankan kaum Muslimin.

Beliau berkata, Yusuf merupakan tokoh rujukannya sejak zaman mahasiswa ketika memimpin gerakan mahasiswa Islam.

"Beliau sentiasa menyeru kepada aliran wasatiyyah dan menentang keras aliran ghuluw dan mutaa'ssibin.

"Saya juga sering mengundangnya ke Malaysia termasuk sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Doa dan surat yang sering diutus tatkala dalam kesulitan begitu mengesankan dan memperteguh semangat dan idealisme saya dalam perjuangan.

"Saya secara peribadi amat merasai kehilangannya, dan sumbangan serta legasi yang ditinggalkan ternyata membekas dalam setiap sanubari kaum Muslimin.

"Semoga Allah SWT memberi tempat dan ganjaran yang teristimewa buat beliau," katanya dalam satu kenyataan.

Allahyarham Yusuf, seorang ulama tersohor kelahiran Mesir dilaporkan meninggal dunia pada usia 96 tahun di Qatar pada Isnin.

Berita duka pemergian Allahyarham diumumkan di akaun media sosial rasmi tokoh agama berpengaruh itu.