REKOD rasmi daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) kendalian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menemui beberapa simpulan bahasa yang berkaitan dengan ‘ayam’ yang merujuk pada sifat dan perangai seseorang individu.

Simpulan bahasa ataupun ungkapan, seperti juga bidalan, pepatah dan perumpamaan digolongkan dalam peribahasa. Simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok kata yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada ertinya yang lazim (Abdullah Hussain, 2016).

Satu daripada fungsi simpulan bahasa dalam pertuturan orang Melayu ialah untuk memuji, menegur atau menyindir dengan cara yang paling mulia tanpa mengaibkan golongan sasaran. Hal ini berkait rapat dengan adab, nilai moral, realiti kehidupan dan pemikiran tinggi bangsa Melayu.

Simpulan bahasa dicipta oleh masyarakat terdahulu yang pada umumnya berada dalam kehidupan alami yang ditemani oleh flora dan fauna. Masyarakat pada zaman tersebut dikelilingi oleh serangga, unggas, haiwan ternakan, binatang buas malahan binatang berbisa termasuklah yang di darat, udara dan air.

Maka penciptaan simpulan bahasa yang tegar sehingga hari ini tidak boleh sama sekali diubah atau diubah suai mengikut kehendak hati walaupun zaman berubah dan teknologi memungkinkan sistem langit terbuka menerima apa jua senario perubahan.

Ini disebabkan penciptaan simpulan bahasa yang berkaitan dengan haiwan ada hubung kaitnya dengan tingkah laku manusia. Dalam sedar atau tidak, dalam diri manusia itu sendiri ada sifat “binatang” yang memungkinkan perangai manusia itu disamakan dengan sifat binatang.

Artikel ini menumpukan perhatian terhadap sifat ayam yang membentuk perilaku manusia. Pelbagai rujukan sifat ayam telah dijelmakan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu bagi mencerminkan sikap atau kelakuan manusia secara implisit.

Setiap rujukan ini mampu memberikan pengajaran, nasihat dan teguran secara halus dalam kehidupan manusia dan dapat diguna pakai sehingga kini. Antara rujukan tersebut seperti sifat “berhati-hati”, “sia-sia” dan “khianat” (Muhammad Zaid Daud, 2022).



Ayam sangat dominan dalam kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Selain menternak ayam, mereka turut menjadikan ayam sebagai sukan dan permainan seperti sabung ayam (Salleh 2010).

Sifat ayam yang digambarkan dengan kepura-puraan, mengambil kesempatan dan penipuan terdapat dalam simpulan bahasa seperti bapa ayam, ajak-ajak ayam dan lepas ayam. Bapa ayam bermaksud orang yang tidak mempedulikan hal anak-anaknya berbanding ibu ayam yang sangat melindungi anak-anak.

Ajak-ajak ayam bermaksud pelawaan yang tidak bersungguh-sungguh yang bertujuan sebagai pemanis mulut semata-mata sama seperti perilaku ayam semasa makan seolah-olah mengajak ayam lain untuk makan bersama-samanya tetapi pada masa yang sama menidakkannya.

Lepas ayam bermaksud membuat sesuatu dengan sesuka hati yang serupa dengan keadaan ayam yang jika dilepaskan dan dibebaskan dari reban akan melakukan apa saja mengikut kemahuannya.

Manakala gambaran tentang fizikal haiwan yang merujuk pada fizikal manusia yang berkaitan dengan ayam ialah dada ayam. Dalam kajian deskriptif, dada ayam merujuk pada keadaan dada yang cantik dan bidang serta membusung ke hadapan sebagai lambang kemegahan.

Simpulan bahasa yang menggambarkan fizikal ayam yang berkaitan dengan waktu ialah buta ayam atau rabun ayam. Dari segi biologinya, ayam mempunyai masalah penglihatan yang keterlaluan pada waktu malam atau apabila waktu semakin senja dan gelap. Maka ia disamakan dengan individu yang tidak dapat melihat pada waktu malam atau dalam keadaan yang gelap.

Simpulan bahasa kaki ayam pula merujuk kepada seseorang yang tidak memakai kasut. Sebenarnya bukan ayam sahaja yang tidak berkasut malahan haiwan lain juga tidak memakai kasut. Namun begitu ayam dilihat sebagai haiwan ternakan yang terdekat dalam kelompok masyarakat Melayu tani yang memerhatikan kaki ayam pada setiap masa kerana ketermampuan memiliki ayam ternakan pada zaman dahulu melebihi kemampuan memiliki haiwan ternakan lain seperti kerbau, lembu dan kambing yang jauh lebih mahal harganya.

Ayam juga mengalami kehidupan yang paling hina apabila masyarakat mencipta simpulan bahasa mati ayam yang bermaksud mati dalam keadaan yang siasia. Sama juga halnya dengan ayam yang mati bukan kerana disembelih, tidak mendapat perhatian orang dan tidak dipedulikan.

Namun begitu terdapat juga perilaku ayam yang melambangkan keberuntungan, kuasa dan martabat, seperti ayam tambatan dan ayam bertanda. Ayam tambatan ialah simbolik terhadap seseorang yang dianggap hebat dan sering menjadi harapan dalam kelompok masyarakat tertentu.

Ayam bertanda pula merupakan individu daripada keturunan yang kuat, gagah dan berani sama halnya dengan sifat ayam sabung yang menjadi hiburan atau perlawanan sabung ayam pada zaman dahulu yang menanda ayam tersebut untuk dilagakan dengan ayam pihak lawan. Penandaan tersebut melambangkan keberanian dan kegagahan ayam sabung tersebut yang bertahan menjadi juara.

Sebagaimana pantun Melayu yang berbunyi;

Ayam sabung jangan ditambat,
Jika ditambat alah berlaga;
Asam di gunung ikan di tebat,
Di dalam belanga bertemu jua.


Kepelbagaian kisah ayam ini bukan sahaja diterjemahkan dalam simpulan bahasa malahan dalam peribahasa juga. Bahasa Melayu amat kaya dengan peribahasa yang dapat disifatkan sebagai ‘mutiara’ bahasa Melayu.

Peribahasa mencerminkan kebudayaan dan gambaran minda Melayu sejak dahulu. Oleh itu, salah satu cara yang baik untuk memahami falsafah hidup dan pemikiran Melayu adalah dengan meneliti dan menghayati peribahasa Melayu (Koh Boh Boon, 1992).

Begitulah ketinggian budi dan falsafah orang Melayu yang melihat dan memerhatikan sesuatu yang alami sebagai perlambangan dalam kehidupan harian.



* Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

* Artikel ini adalah pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.