PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Argentina hari ini terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar kokain seberat 2.8 kilogram, empat tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah memerintahkan Javier Edgardo Silva, 42, dibebaskan selepas mendapati sabitan itu disebabkan hakim perbicaraan tersalah arah dan terdapat merit dalam rayuan perayu (Silva).

Dalam penghakimannya, Hakim Hanipah berkata mahkamah bersetuju dengan hujah peguam yang mewakili Silva bahawa berdasarkan Seksyen 180 (3) Kanun Acara Jenayah, Pesuruhjaya Kehakiman (JC) telah salah arah dengan melihat dapatan prima facie pada akhir kes pendakwaan kes semasa peringkat pembelaan.

"Pesuruhjaya Kehakiman tidak diberi kuasa sedemikian di bawah undang-undang apabila beliau sudah membuat keputusan bahawa terdapat kes prima facie.

"Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi (Shah Alam) diketepikan dan perayu dibebaskan daripada pertuduhan ini," kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama Hakim Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Silva merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati kepadanya pada 27 Sept, 2019, selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan mengedar dadah itu di Kawasan Tuntutan Bagasi di Aras 3, Balai Ketibaan Antarabangsa, Bangunan Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, kira-kira 6 petang pada 5 Jun 2017.

Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail berhujah bahawa JC pada 22 Mac 2019 memerintahkan Silva membela diri berdasarkan anggapan berganda dan JC menggunakan anggapan pemilikan dan anggapan pengedaran.

"Mahkamah Persekutuan dalam keputusan penting pada 4 April 2019 memutuskan bahawa hakim perbicaraan tidak boleh menggunakan anggapan berganda dalam kes pengedaran apabila tertuduh diperintahkan membela diri.

"JC pada 23 April 2019, meminta pihak pembelaan dan pendakwaan membuat hujahan lanjut susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu walaupun telah diingatkan. Pada 28 Mei, JC mengubah dapatannya bahawa perayu dianggap memiliki dan membawa dadah seperti yang ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar pula berhujah bahawa JC boleh menggunakan kuasa sedia ada untuk mengkaji semula keputusannya sebelum ini.

"Beliau tidak menimbulkan sebarang prejudis kepada perayu dalam menjalankan semakan," kata Mohd Dusuki.

-- BERNAMA