Perjalanan Harimau Muda di Sukan SEA boleh dijadikan buku - Mohd Nafuzi

Menurut Mohd Nafuzi, sejak awal persiapan, pasukan berdepan pelbagai cabaran termasuk pemain yang tidak dilepaskan kelab, kekurangan pemain, penggantungan, serta kecederaan. - Foto BERNAMA
BANGKOK: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Mohd Nafuzi Zain menyifatkan perjalanan Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 sebagai satu perjuangan penuh liku dan pengorbanan yang wajar dibanggakan.
Ringkasan AI
- Ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Mohd Nafuzi Zain, menggambarkan perjalanan Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 sebagai penuh liku dan pengorbanan yang patut dibanggakan, dengan cabaran seperti kekurangan pemain dan penggantungan.
- Skuad Harimau Muda meraih pingat gangsa selepas menewaskan Filipina 2-1, mengakhiri kemarau pingat Malaysia dalam acara bola sepak lelaki di Sukan SEA selepas lapan tahun, dengan Muhammad Haqimi Azim Rosli menjadi penjaring gol kemenangan.
- Prestasi positif ini menandakan kembalinya skuad Harimau Muda ke podium selepas meraih perak pada 2017, menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi dalam menghadapi kekurangan pasukan sepanjang kempen Sukan SEA Thailand 2025.
"Sehingga ke akhirnya, kita seolah-olah berperang. Ada pemain yang bertongkat, berbalut bahu. Itu semua adalah pengorbanan dan satu perjuangan untuk negara yang saya rasa kita patut bangga," katanya ketika ditemui selepas perlawanan tempat ketiga di Stadium Nasional Rajamangala di sini, pada Khamis.
Dalam pertembungan menentang Filipina itu, skuad Harimau Muda melakar kemenangan 2-1 untuk merangkul pingat gangsa, sekali gus menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam acara bola sepak lelaki di pentas Sukan SEA selepas lapan tahun.
Dalam aksi tersebut, skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Danish Hakimi Sahaludin sebelum Filipina menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-36, namun pemain itu menebus kesilapannya dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-43.
Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Muda kembali menaiki podium buat pertama kali sejak meraih perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir tanpa pingat pada tiga edisi terdahulu.
Mengulas lanjut, Mohd Nafuzi berkata para pemain menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi dalam menghadapi kekurangan pasukan sepanjang kempen di sini.
"Saya begitu bangga dengan mereka kerana semangat juang yang ditunjukkan sangat tinggi dari segi teamwork dan bonding seperti keluarga. Walaupun kita kurang permain, itu yang membuatkan kita boleh tolong-menolong satu sama lain," kata jurulatih berusia 45 tahun itu.
Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan masing-masing pada edisi 2019 di Filipina dan edisi 2023 di Kemboja.
Pada edisi 2021 di Vietnam, hasrat pasukan negara untuk membawa pulang pingat tidak kesampaian selepas dikecewakan Indonesia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang berakhir 1-1, sebelum menang 4-3 melalui penentuan sepakan penalti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


