KUALA PILAH: Seorang lelaki yang videonya tular membelasah anak perempuannya sehingga mangsa menerima 12 jahitan, dijatuhi hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut, Januari lalu.

Tertuduh berusia 47 tahun membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anak kandungnya yang berusia 17 tahun dengan menggunakan suatu alat yang digunakan sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kematian iaitu satu kerusi plastik, satu bakul pakaian dan satu papan seterika.

Kesalahan itu dilakukan pada 23 Januari 2024, jam lebih kurang 11.45 malam di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru Kota, Rembau.

 

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Sabit kesalahan, di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula boleh dihukum penjara bagi satu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam, Roslaili Alias.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian