Seorang lelaki berusia 45 tahun bertindak di luar kawalan apabila dia bukan sahaja melanggar malah menghimpit sebuah kenderaan lain sehingga terbabas ke dalam parit berikutan berang kereta yang dipandunya dipotong.

Tidak cukup dengan itu, suspek turut memukul mangsa berusia 35 tahun, iaitu pemandu kereta yang memotongnya, menggunakan besi boleh laras dalam kejadian di Jalan Kampung Atas Pinggir, Bunut Susu, kira-kira jam 4.46 petang Isnin.

Sebelum itu, video berdurasi 20 saat viral di laman sosial Facebook yang menunjukkan tindakan seorang lelaki berbaju putih yang tidak berpuas hati memukul pemandu kereta Perodua Kancil itu menggunakan besi dipercayai selepas berlaku kemalangan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata, menurut laporan, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Harrier itu, disyaki marah kepada mangsa yang memotong kenderaannya.

"Hasil siasatan, mangsa mengakui bertindak memotong kenderaan terbabit selepas suspek dipercayai memandu dengan sangat perlahan serta dalam keadaan ke kiri dan ke kanan.

"Sebaik sahaja mangsa berbuat demikian, suspek bertindak mengekorinya sehingga kenderaan mangsa terbabas sebelum suspek berkenaan meluru ke arahnya dan memukul mangsa menggunakan besi sehingga menyebabkan kecederaan.

"Mangsa mengalami luka sepanjang 3 sentimeter (cm) di kepala dan bengkak serta calar pada bahagian lengan. Mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Roy berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Hasil semakan juga mendapati kenderaan dinaiki suspek didaftarkan kepada seorang pemilik wanita di Bangi dan pemilik kenderaan sudah dihubungi dan dia menjelaskan bahawa kenderaan ini diberikan sambung bayar kepada sebuah syarikat kereta di Kelantan.


"Pihak kami masih mengesan suspek dan tindakan lanjut akan diambil atas kesalahan yang dilakukannya. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 dan 279 Kanun Keseksaan," katanya.