KUALA PILAH: Seorang bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada seorang bekas timbalan menteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Pilah, hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki berhubung tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta, Oktober tahun lalu.
 
Tertuduh, Datuk Nasarudin Mahmud, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.
 
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berkaitan tawaran tender projek kerajaan dengan harga RM8 juta dan telah dengan curangnya mendorong lelaki itu mempercayainya.
 

Mangsa kemudian telah memindahkan wang berjumlah RM382,000 ke dalam akaun tertuduh dan serahan wang tunai berjumlah RM67,000 yang mana lelaki itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu dilakukan antara 6 Oktober 2022 hingga 18 Oktober 2022 di sebuah pejabat di Mukim Tampin Tengah.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
 
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Syed Amirul Syed Edros.
 
Muhammad Amirul pada hujahannya tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.
 
Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau memohon jumlah jaminan yang setimpal.
 
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.