REMBAU: Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah menceroboh rumah selebriti terkenal, Nabil Ahmad pada Januari lalu.

Majistret Kartini Kasran menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31, selepas dia mengaku bersalah.

Majistret turut memerintahkan 10 bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membuat bayaran berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Fadzril Aqmal telah dengan sengaja menceroboh ke dalam rumah Ahmad Nabil Ahmad, 40 tanpa pengetahuan dan kebenarannya pada 4 Januari 2022 kira-kira jam 7.50 malam di Kampung Senama Tengah di Rembau.

Berikutan itu dia didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, adik kepada Raja Lawak musim kedua itu yang berusia 36 tahun telah dihubungi selebriti terbabit memaklumkan lampu dan pintu rumahnya di kampung tersebut terbuka.

Adiknya yang juga pengadu kemudiannya telah pergi ke rumah tersebut dan mendapati pintu besi serta pintu rumah telah rosak, manakala ruang tamu serta tiga bilik dalam keadaan berselerak.

Dia juga menjumpai seluar trek, baju, kasut serta kad pengenalan tertuduh di dalam poket seluar berkenaan, namun tiada barangan berharga yang hilang.

Hasil siasatan lanjut mendapati, kejadian itu disedari oleh jirannya yang telah menghubungi selebriti terbabit pada jam 7.40 malam.

Namun ketika itu dia tidak mengesyaki apa-apa kerana beranggapan kemungkinan ahli keluarga yang datang.

Bagaimanapun Nabil telah meminta adiknya untuk memeriksa rumah tersebut kerana tiada sesiapa yang pulang ke rumah itu pada waktu kejadian.

Tertuduh mengaku telah masuk ke dalam rumah dengan cara menolak pintu dengan kuat, makan, berehat dan tidur di dalam rumah berkenaan.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian