TAWAU: Cubaan seorang lelaki dipercayai menyeludup diesel bernilai RM154,910 menggunakan lori tangki yang diubah suai gagal apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).

Suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan di salah sebuah stesen minyak di Tawau.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati tangki kenderaan itu telah diubah suai untuk menyimpan diesel dipercayai bagi tujuan penyeludupan.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dalam kes berasingan, pihaknya juga berjaya merampas tenggiling yang disimpan dalam sebuah kotak di kawasan pejalan kaki di Pelabuhan Kastam, Kuarantin dan Imigresen (CIQ) lama Tawau.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seekor tenggiling dalam kotak dan tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik tenggiling berkenaan.

"Rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997," katanya.

Dalam pada itu, Ridzauddin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.