Polis menahan seorang lelaki selepas menjumpai bungkusan plastik hitam berisi daun, disyaki daun ketum seberat 225 kilogram di dalam kereta yang dipandunya di tepi jalan Kampung Sungai Rubana dekat sini, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh sepasukan tujuh pegawai dan anggota polis kira-kira jam 3.15 petang.

Menurutnya, sebanyak 45 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum ditemui di dalam kereta jenis Toyota itu yang dianggarkan bernilai RM2,250.

“20 bungkusan plastik hitam yang dianggarkan seberat 100 kilogram ditemui di tempat duduk penumpang belakang manakala 25 bungkus lagi yang dianggarkan seberat 125 kilogram di dalam bonet kereta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain rampasan daun-daun ketum, polis turut merampas kereta yang digunakan yang kesemuanya berjumlah RM12,250.

Suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal mendapatinya negatif dari sebarang dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.